Peguam Najib jejas sistem kehakiman bakal kena tindakan tatatertib: Majlis Peguam

August 19, 2022 · Isu semasa

Majlis Peguam Malaysia hari ini telah mencadangkan tindakan tatatertib diambil terhadap peguam tertentu yang pernah atau merupakan sebahagian daripada pasukan undang-undang dalam rayuan terakhir Datuk Seri Najib Razak yang sedang berlangsung berkaitan kes SRC International Sdn Bhd (SRC).

Tanpa menamakan peguam terbabit, Presiden Majlis Peguam Karen Cheah Yee Lynn berkata peguam berkenaan telah bertindak “tidak profesional” ketika kes itu, yang telah menyaksikan beberapa siri liku-liku.

“Pelbagai percubaan untuk menjejaskan sistem kehakiman melalui strategi tidak bertanggungjawab itu adalah penyelewengan sistem keadilan kita dan penyalahgunaan proses mahkamah

“Peguam bela dan peguam cara yang terlibat dalam perbuatan sedemikian telah menjadikan diri mereka tidak profesional dan perlu menghadapi tindakan tatatertib,” katanya dalam satu kenyataan.

Cheah menegaskan bahawa peguam diharap dapat menjaga maruah profesion undang-undang dan mematuhi piawaian profesional tertinggi seperti yang ditetapkan di bawah Kaedah-Kaedah Profesion Undang-undang (Amalan dan Etiket) 1978.

“Majlis Peguam Malaysia mengambil pendirian bahawa apabila seorang peguam baharu mengambil alih sesuatu kes, peguam itu mesti mematuhi Peraturan 6(a) dalam kaedah berkenaan yang menyatakan bahawa seorang peguam bela dan peguam cara tidak boleh menerima sebarang taklimat melainkan dia semunasabahnya pasti boleh untuk hadir dan mewakili pelanggan pada tarikh perbicaraan yang ditetapkan oleh mahkamah.

“Peguam baharu itu juga mesti mematuhi Peraturan 24(a) kaedah berkenaan yang memperuntukkan bahawa peguam bela dan peguam cara hendaklah berusaha sedaya upaya untuk bersedia bagi menghadapi perbicaraan pada hari yang ditetapkan,” katanya menurut MalayMail.

Beliau juga berkata bahawa “bukan hak automatik” untuk pelanggan melepaskan peguam mereka, atau peguam melepaskan diri mereka sendiri – dan keputusan untuk membenarkan langkah sedemikian akhirnya terpulang kepada mahkamah.

Semalam, peguam utama Datuk Seri Najib Razak, Hisyam Teh Poh Teik memohon menarik diri daripada mewakili bekas Perdana Menteri itu dalam rayuan terakhir terhadap sabitan menyalahgunakan dana SRC International Sdn Bhd.

Pada permulaan prosiding semalam, Hisyam memohon maaf kepada panel lima hakim di Mahkamah Persekutuan dan memohon menarik diri setelah permohonan Najib untuk menangguhkan perbicaraan akhir itu ditolak.

Panel hakim diketuai Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat menolak permohonan Hisyam Teh untuk menarik diri, sambil berpendapat peguam itu gagal menunjukkan sebab untuk berbuat demikian.

“Kami menolak permintaannya untuk melepaskan diri. Beliau (Hisyam Teh) masih dalam rekod sebagai peguam utama,” kata Tengku Maimun.

Pada sidang media kemudian, Hisyam Teh berkata beliau tidak berada dalam kedudukan untuk mengambil bahagian dalam prosiding rayuan semasa kerana tidak diberi masa, yang telah dimohon kepada mahkamah, dan dinafikan untuk membuat persiapan yang diperlukan bagi membela Najib.

“Saya tidak nampak cara bermakna saya boleh bertindak dalam prosiding berkenaan kerana kami sebenarnya tidak bersedia,” katanya.

Hari ini, (19 Ogos) Hisyam Teh sekali lagi bertegas untuk tidak mengemukakan sebarang hujahan bagi pihak Najib – yang akan membawa bekas Presiden UMNO itu terus ke penjara jika rayuan terakhir itu ditolak.

Pada hari sama juga, Najib membuat satu lagi kejutan di Mahkamah Persekutuan dengan menamatkan khidmat firma guaman Zaid Ibrahim Sufian TH Liew & Partners yang baharu sahaja dilantik mewakilinya, daripada bertindak sebagai peguam caranya dalam rayuan terakhir itu.

Keputusan Najib itu disampaikan kepada Mahkamah Persekutuan oleh Hisyam Teh.

Ini adalah kali kedua Najib bertindak menamatkan pasukan undang-undangnya setelah mengambil tindakan sama terhadap peguam yang mewakilinya sepanjang kes SRC itu, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, pada 25 Julai.

Bekas Presiden UMNO itu memberhentikan Tetuan Shafee & Co yang mewakilinya dalam kes SRC sejak 4 Julai 2018 dan melantik firma guaman Tetuan Zaid Ibrahim Suffian TH Liew & Partners sebagai peguam cara baharu, dengan Hisyam Teh sebagai peguam utama serta Liew Teck Huat dan Rueben Mathiaravanam sebagai peguam bersama.

Najib mengemukakan rayuan terakhir di Mahkamah Persekutuan bagi mengetepikan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta yang dihadapinya dalam kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC.

Pada 8 Disember tahun lalu, Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan salah yang dikenakan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai 2020 selepas didapati bersalah atas tujuh pertuduhan membabitkan penyelewengan dana SRC.

Berita berkaitan
Zaman ‘merpati’ jadi PM, Anwar dakwa hanya tidur atas lantai di penjara
September 23, 2022· Politik
Tak pernah lihat badan kehakiman bebas seperti sekarang: Musa Hitam
September 15, 2022· Isu semasa
Keputusan kes saman LHDN terhadap Shafee tak bayar cukai pada 28 Sept
September 13, 2022· Isu semasa
Khairy sangkal dakwaan ubat diberi kepada Najib ditukar
September 13, 2022· Isu semasa
Popular
Ejen kosmetik diculik di Tumpat cuba diseludup ke Laos: Laporan
September 30, 2022
Hari ketiga perbicaraan kes Ebit Lew, seorang lagi pendakwah dijangka jadi saksi
September 29, 2022
Kertas siasatan Hakim Mohd Nazlan selesai: SPRM
September 30, 2022
Firdaus Wong lihat tangkap layar mesej lucah didakwa dihantar Ebit Lew
September 30, 2022
Lagi Isu semasa terkini
2,007 kes semalam, 5 kematian
3 jam lalu · Isu semasa
Gempa bumi di Indonesia dirasai penduduk sekitar Lembah Klang
3 jam lalu · Isu semasa
Krisis ekonomi global 2023?
6 jam lalu · Isu semasa
Ejen kosmetik diculik di Tumpat cuba diseludup ke Laos: Laporan
17 jam lalu · Isu semasa
Terbitan MGII Lestari kerajaan RM4.5b terlebih langganan 2.38 kali
17 jam lalu · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Mesyuarat MKT UMNO putus 9 ketetapan
13 jam lalu
[VIDEO] 4 wilayah Ukraine jadi milik Rusia
14 jam lalu

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok