Peguam Najib jalani kuarantin kendiri, perbicaraan 1MDB ditangguh

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menangguhkan kes perbicaraan membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dihadapi Datuk Seri Najib Razak selepas peguamnya perlu menjalani kuarantin kendiri.

Perbicaraan itu ditangguhkan selepas mahkamah dimaklumkan peguamnya Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah menjadi kontak rapat pesakit Covid-19 baru-baru ini.

Peguam Rahmat Hazlan, yang turut mewakili bekas perdana menteri itu, memaklumkan bahawa perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah ditangguh sehingga 17 Ogos depan.

“Betul, Tan Sri (Shafee) sedang kuarantin kendiri kerana beliau ada kontak rapat dengan pesakit COVID-19,” katanya lapor Bernama.

Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib, ketika dihubungi, turut mengesahkan penangguhan perbicaraan itu.

Kes itu ditetapkan untuk sambung bicara sejak 29 Jun lepas namun telah ditangguhkan. Kali terakhir perbicaraan kes 1MDB didengar ialah pada 27 Mei.

Seorang lagi peguam Najib, Wan Aizuddin Wan Mohammed dijangka meneruskan pemeriksaan balas terhadap saksi pendakwaan ke-10 iaitu Mohd Hazem Abdul Rahman, 49, yang merupakan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, apabila perbicaraan bersambung.

Najib, 67, berdepan empat pertuduhan iaitu menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

BERITA BERKAIT
POPULAR