Peguam Najib fail enam notis kepada Mahkamah Persekutuan

Pasukan pembelaan Datuk Seri Najib Razak dalam kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd (SCR) sudah memfailkan enam notis rayuan kepada Mahkamah Persekutuan.

Ketua Pasukan Pembelaan, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, notis rayuan yang dikemukakan pada 8 dan 15 Disember lalu, termasuk isu penolakan bukti serta keterangan baharu oleh Mahkamah Rayuan dalam kes berkenaan.

“Untuk maklumat, kita memfailkan notis rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang mengekalkan hukuman dan sabitan atas tujuh pertuduhan membabitkan penyelewengan dana RM42 juta milik SRC.

“Dalam rayuan ini, kita akan memasukkan bukti baharu yang belum didedahkan selama ini.

“Selain itu, kita merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang menolak permohonan anak guam kami untuk memasukkan bukti dan keterangan baharu bagi dipertimbangkan dalam rayuan kes SRC ini,” katanya dalam sidang media secara maya hari ini.

Keterangan baharu yang ingin dimasukkan Najib dalam rayuannya membabitkan dakwaan bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz dan keluarganya bersekongkol dalam rancangan jahat ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low terhadap dirinya.

Pada 7 Disember lalu, panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan dipengerusikan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil, bersidang bersama-sama Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera, sebulat suara menolak permohonan itu selepas mendapati Najib gagal menunjukkan wujud keadaan luar biasa yang melampau bagi membolehkan mahkamah menerima bukti berkenaan.

Mengulas lanjut, Shafee pada sidang media itu berkata beliau tidak boleh memperincikan satu lagi bukti baharu memandangkan masih terlalu awal untuk berbuat demikian.

Pada 8 Disember lalu Mahkamah Rayuan sebulat suara mengekalkan sabitan salah atas tujuh pertuduhan membabitkan penyelewengan dana RM42 juta milik SRC, selepas mendapati rayuan Ahli Parlimen Pekan itu tidak mempunyai merit.

Mahkamah turut mengekalkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta yang dikenakan terhadap Najib sebelum ini atas alasan hukuman yang dikenakan adalah wajar dan bersesuaian.

BERITA BERKAIT
POPULAR