Peguam Najib ditegur hakim ulang poin sama berulang kali

Datuk Seri Najib Razak merayu berhubung salahguna dana RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

Peguam Datuk Seri Najib Razak ditegur Hakim Mahkamah Rayuan kerana menggunakan poin sama berulang kali dalam hujahan dalam pendengaran rayuan bekas perdana menteri itu terhadap tuduhan menyalahgunakan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

Peguam Najib, Harvinderjit Singh ditegur Hakim Datuk Abdul Karim Abdul Jalil dengan memintanya meringkaskan penghujahannya kerana banyak poin sama sudah dikemukakan oleh peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah sebelum ini.

“Anda mengulanginya lagi dan lagi. Adalah lebih baik anda gunakan ia untuk kaitkan dengan kes pecah amanah (CBT) terhadap Najib. Daripada anda bangkitkan di hadapan kami yang telah dihujahkan oleh Tan Sri Shafee. Sila beri penerangan yang jelas kepada kami.

“Sebenarnya anda mengulanginya. Saya tahu anda mahu menekankan perkara itu kepada kami. Tetapi ini adalah Mahkamah Rayuan. Lebih baik fokus kepada perkara lain,” kata Hakim Abdul Karim dipetik Bernama.

Harvinderjit kemudian menyambung penghujahannya.

Hakim Abdul Karim mengetuai pendengaran rayuan Najib itu bersama Hakim Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera.

Pada 28 Julai tahun lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap Najib selepas mendapati beliau bersalah atas tiga pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT), tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan menyalahgunakan kedudukan membabitkan RM42 juta dana milik SRC International.

Prosiding rayuan bersambung.