Peguam Najib dakwa hakim terkhilaf 100 peratus

Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Pertuduhan berhubung salah guna kuasa terhadap Datuk Seri Najib Razak dalam kes SRC International Sdn Bhd, adalah salah dan menyalahi undang-undang, kata Peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

Beliau berkata, ini kerana bekas perdana menteri itu tidak mempunyai kepentingan peribadi mahupun kewangan ketika beliau mempengerusikan mesyuarat Kabinet yang membincangkan jaminan kerajaan untuk SRC mendapatkan pinjaman dari Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP).

Memberitahu Mahkamah Rayuan hari ini, beliau berkata, Najib sebagai perdana menteri adalah pengerusi Kabinet, yang merupakan kerajaan pada masa itu.

“Hakim bicara Mohd Nazlan Mohd Ghazali adalah 100 peratus terkhilaf untuk membuat kesimpulan bahawa beliau menggunakan kedudukannya untuk sebarang suapan.

“Yang Arif, sebagai perdana menteri ketika itu, Najib adalah first among equals dalam Kabinet. Pada akhirnya, Kabinet yang akan membuat keputusan secara kolektif.

“Ia bukan keputusan oleh seorang individu (Najib), perdana menteri, menteri kewangan atau wakil Kementerian Kewangan Diperbadankan (MoF Inc),” kanya seperti dilapor Bernama.

Belau berhujah demikian di hadapan panel tiga hakim diketuai Hakim Datuk Abdul Karim Abdul Jalil dalam prosiding rayuan Najib terhadap sabitan dan hukuman penjara kerana penyalahgunaan dana SRC International sebanyak RM42 juta.

Turut bersidang Hakim Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera.

POPULAR