Peguam Najib cadang pengurusan 1MDB yang perdaya anak guamnya

Peguam bela Datuk Seri Najib Razak memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini dengan cadangan mendakwa pengurusan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) memperdaya anak guamnya dalam menyertai perjanjian dengan PetroSaudi International Ltd (PSI).

Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib membuat cadangan itu kepada bekas Pengarah Bukan Eksekutif 1MDB Tan Sri Ismee Ismail yang merupakan saksi pendakwaan ke-13.

Katanya, Najib diperdaya oleh beberapa ahli pengurusan dan Ahli Lembaga Pengarah syarikat dengan mengemukakan cadangan kertas kerja usaha sama yang terperinci.

Mereka yang terbabit dalam menyediakan kertas kerja berkenaan termasuk bekas peguam syarikat, Jasmine Loo Ai Swan: bekas Ketua Pegawai Kewangan, Azmi Tahir; bekas Pengarah Eksekutif, Casey Tang Keng Chee; dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi.

Muhammad Shafee mencadangkan kertas kerja terbabit sangat terperinci dan praktikal sehingga mampu meyakinkan Lembaga Pengarah 1MDB, dan Ismee bersetuju dengan kenyataan itu.

Disoal sama ada Najib terbabit dalam penyediaan dokumen berkenaan yang bertujuan menipu 1MDB, Ismee menjawab, “Saya tidak fikir mana-mana Perdana Menteri mempunyai masa untuk melakukannya.”

Muhammad Shafee berkata, Shahrol Azral dalam keterangan sebelum ini menyatakan diarah oleh ahli perniagaan Low Taek Jho atau Jho Low untuk menyediakan dokumen terbabit (melalui arahan daripada Najib).

Sementara itu, Ismee bersetuju Najib dan Ahli Lembaga Pengarah 1MDB tidak mempunyai sumber yang diperlukan untuk mengesahkan maklumat dikemukakan pengurusan 1MDB dalam sesi taklimat kepada mereka adalah betul atau sebaliknya.

Saksi juga mengesahkan tidak mengetahui kandungan maklumat yang dikemukakan oleh pengurusan kepada Najib dan sama ada ia perkara sama dimaklumkan kepada Lembaga Pengarah sebelum dokumen itu ditandatangani.

Pendakwa Raya kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram, ketika membacakan kenyataan pembukaan pada Ogos 2019, berkata satu usaha sama palsu antara 1MDB dan Syarikat PetroSaudi International LTD (PSI) yang dikenali sebagai projek Aria diwujudkan tertuduh (Najib) dengan 1MDB meminjam AS$1 bilion, kononnya untuk melabur dalam syarikat usaha sama dikenali 1MDB Petro Saudi Limited.

Wang berkenaan adalah untuk dimasukkan ke dalam akaun syarikat usaha sama yang mana PetroSaudi International memperoleh 60 peratus saham dengan menyuntik beberapa aset melalui nilai diragukan.

Bagaimanapun, Sri Ram berkata, usaha sama itu tidak dijalankan dengan PSI, sebaliknya melalui syarikat PetroSaudi Holding (Cayman) Ltd. dan Tariq Obaid (kenalan Jho Low) melaksanakan perjanjian bagi mewakili Petro Saudi (Cayman).

Dalam perbicaraan sebelum ini, Shahrol Azral iaitu saksi pendakwaan kesembilan, mendedahkan perjanjian usaha sama 1MDB-PetroSaudi PSI meninggalkan hutang berjumlah AS$700 juta, berpunca daripada pindahan dana 1MDB kepada Good Star Ltd, iaitu syarikat dikatakan milik Jho Low.

Beban hutang AS$700 juta itu berlaku selepas syarikat usaha sama masih dimiliki PSI.

Shahrol Azral mengesahkan Ahli Lembaga Pengarah 1MDB tidak pernah mengetahui berhubung perjanjian pinjaman ditandatangani 1MDB-PSI pada 29 September 2009.

Saksi itu bersetuju sekiranya perjanjian pinjaman itu dikemukakan kepada Lembaga Pengarah, ia tidak akan diluluskan.

Najib, 68, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung hari ini.

BERITA BERKAIT
POPULAR