
Peguam pemerhati kes Bella, Datuk Khairul Anwar Rahmat
Peguam yang memantau perbicaraan pengasas rumah kebajikan Rumah Bonda Siti Bainun Ahd Razali di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur menggesa pihak berkuasa menyiasat dakwaan seksual yang timbul di mahkamah.
Datuk Khairul Anwar Rahmat, yang mewakili kumpulan empat peguam itu berkata, dakwaan seksual itu membabitkan gadis berusia 13 tahun yang menghidap Sindrom Down bernama Bella yang didakwa Siti Bainun didera semasa di bawah jagaannya.
“Berdasarkan nota prosiding terkini, mahkamah diberitahu tentang ‘kewujudan’ seorang lelaki yang dituduh melakukan perbuatan tidak bermoral itu terhadap Bella, seorang remaja perempuan yang tidak berdaya.
“Pasukan peguam yang memerhati kes Bella mahu pihak berkuasa memulakan siasatan terhadap dakwaan jenayah dandanan seksual terhadap mangsa,” katanya menurut laporan MalayMail.
Katanya, peguam pemerhati berpandangan bahawa pendedahan terbaru ini adalah satu perbuatan jenayah yang serius kerana ia tidak pernah dibangkitkan oleh mana-mana pihak sebelum ini.
“Peguam yang memerhati juga telah membincangkannya dengan pihak pendakwaan dan pihak pembelaan.
“Kami juga menggesa laporan polis dibuat bagi mengenal pasti ‘lelaki misteri’ itu dan mengheretnya ke mahkamah,” katanya.
Khairul Anwar berkata, pendedahan itu mesti ditangani segera oleh pihak berkuasa dan pihak berkepentingan yang terlibat.
Beliau berkata ini bagi memastikan keselamatan Bella dan rakan-rakannya yang kini berada di pusat perlindungan di seluruh negara.
Semalam, seorang penolong pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menafikan Bella menjadi mangsa amang seksual sebelum hak penjagaan sementara diberikan kepada Siti Bainun.
Mohamad Imran Mohamed Zanyuin, 35, berkata beliau terkejut kerana ini merupakan kali pertama beliau mendengar isu amang seksual dibangkitkan pihak pembelaan.
Saksi pendakwaan ke-12 itu berkata demikian semasa pemeriksaan balas oleh peguam Nur A’minahtul Mardiah Md Nor, mewakili Siti Bainun, pada perbicaraan kes pengasas Rumah Bonda itu di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Izralizam Sanusi.
Saksi juga tidak bersetuju dengan cadangan peguam bahawa individu yang melakukan amang seksual itu adalah seseorang yang dipanggil ustaz atau pun ‘pakcik’ di tempat Bella tinggal sebelum ini.