Pegawai SPRM mengaku tidak bersalah seleweng RM25 juta

Seorang pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tuduhan menyeleweng wang tunai AS$6.94 juta, yang dirampas agensi berkenaan.

Shahrum Nizam Baharuddin, 40, didakwa dengan satu pertuduhan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan kerana melakukan pecah amanah (CBT).

Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan kesalahan itu di bilik Ketua Cawangan Tindakan Khas Aras 14, Blok C Ibu Pejabat SPRM antara 17 Disember 2018 dan 9 April 2019 lalu.

Jika sabit kesalahan di bawah seksyen itu, dia boleh dihukum penjara selama tempoh tidak kurang dari dua tahun dan tidak lebih dari 20 tahun, dan dikenakan sebatan, dan boleh didenda.

Hakim Suzana Hussin, tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 18 Februari depan untuk sebutan semula kes.

Memetik laporan Mkini, pihak pendakwaan turut memaklumkan kepada mahkamah bahawa Shahrum Nizam akan dihadapkan dengan 110 lagi pertuduhan baharu membabitkan kes pengubahan wang haram.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin tidak mendedahkan bila pertuduhan baharu itu akan dikenakan.

September lalu, SPRM menahan tiga pegawainya bagi membantu siasatan berhubung dakwaan salah guna kuasa dan penyelewengan dalam urusan kes terhadap seorang bekas ketua jabatan.

Wang tunai yang hilang itu disita SPRM pada 2018 ketika siasatan membabitkan bekas Ketua Pengarah Perisikan Luar Malaysia (MEIO), Datuk Hasanah Abdul Hamid.

Hasanah didakwa pada 2018 dalam kes pecah amanah membabitkan RM50.4 juta milik kerajaan. SPRM menyita wang tunai dan barangan daripada Hasanah berkaitan siasatan kes itu.

Hasanah kemudian dilepas tanpa dibebaskan daripada pertuduhan dalam perbicaraan pada April tahun ini, dan menuntut semula wang tunai yang disita sebelum mendapati sejumlah RM25 juta telah hilang.

BERITA BERKAIT
POPULAR