Pegawai SPRM kebas duit RM25 juta akan didakwa esok

Suspek yang disyaki terlibat dalam kontroversi kehilangan wang RM25 juta dari peti besi barang bukti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bakal didakwa di mahkamah esok.

Pendakwaan tersebut disahkan selepas SPRM menghantar jemputan media bagi membuat liputan berhubung pendakwaan kes tersebut esok di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur selepas mendapat kebenaran untuk mendakwa pegawai terbabit.

“Justeru, anda dijemput menghantar seorang wartawan dan jurugambar untuk membuat liputan berita mengenai kes ini,” kata jemputan yang dihantar kepada kumpulan Whatsapp media pada awal hari ini.

Semakan dengan sumber di SPRM mengesahkan kes yang akan dibawa ke mahkamah esok membabitkan kejadian kehilangan RM25 juta.

Bagaimanapun, mereka enggan mendedahkan mengenai butiran lanjut pertuduhan terhadap suspek.

September lalu, SPRM menahan tiga pegawainya selepas bekas ketua pengarah Pertubuhan Perisikan Luar Malaysia (MEIO) Datuk Hasanah Abdul Hamid membuat laporan bahawa sejumlah besar wang tunai – yang dirampas suruhanjaya itu ketika menyiasatnya pada 2018 sudha hilang.

Difahamkan ketiga-tiga suspek itu merupakan sebahagian daripada unit siasatan khas yang mengendalikan kes Hasanah.

Menurut sumber, suspek yang akan didakwa merupakan salah seorang yang ditahan ketika itu dan telah dikenal pasti sebagai suspek utama kes tersebut.

Suspek juga telah disiasat polis berhubung dakwaan mengedar dadah dan kesalahan berkaitan Akta Senjata Api.

Dalam laporan pada bulan September, portal berita ini juga telah mendedahkan suspek utama disifatkan oleh sumber sebagai “bermasalah” tetapi mempunyai hubungan baik dengan orang ternama.

BERITA BERKAIT
POPULAR