Pegawai KKM guna budi bicara sebelum keluar kompaun: Khairy

Pegawai Kementerian Kesihatan (KKM) sentiasa menggunakan budi bicara sebelum mengeluarkan kompaun kepada orang awam sekiranya berlaku pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) berkaitan Covid-19, kata Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Menteri Kesihatan itu berkata sudah mengeluarkan arahan supaya pegawai penguatkuasa KKM mengeluarkan kompaun terhadap mereka yang melanggar SOP, tanpa mengira status atau latar belakang politik mereka jika didapati bersalah semasa kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor berlangsung.

Bagaimanapun, tambahnya, penguatkuasa berkenaan juga diminta menggunakan budi bicara mereka apabila menguatkuasakan undang-undang.

“Saya tau semua datang nak selfie dan sebagainya. Kita minta penguatkuasa minta ikut budi bicara.

“Kadang-kadang dia datang nak ambil gambar, jadi dalam keadaan 5 saat tu terus bagi kompaun, kena budi bicara sikit lakalau degil sangat baru bagi kompaun.

“Kita kena ada budi bicara. Penguatkuasa saya ada budi bicara, untuk melihat sama ada wajar untuk keluar kompaun atau tidak,” katanya dipetik laporan media.

Khairy terdahulu mengadakan tinjauan di Pusat Penilaian Covid-19 Klinik Kesihatan Simpang Renggam di Johor hari ini.

Dalam pada itu, Khairy juga berkata pihaknya akan meneliti rakaman video berhubung dakwaan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak melanggar SOP semasa berkempen di Perling, Johor pagi ini.

“Jika dapati video tu langgar SOP disebabkan dia, boleh dikeluar kompaun

“Saya kena sebut ni ye, kadang-kadang orang tengok video, orang salahkan pemimpin hadir. Bukan rujuk kes ni, semua keslah.

“Tapi yang sebab commotion (kekecohan) tu adalah orang ramai.

“Dalam keadaan tersebut saya dah minta, pertama kita beri teguran dulu, jangan kerumuni pemimpin.

“Kedua kita minta supaya dia jaga penjarakan sewaktu ada program walkabout dan sebagainya,” katanya lagi.

Sepanjang tempoh berkempen PRN Johor yang bermula semalam, parti politik didakwa gagal mematuhi SOP Covid-19 dalam aktiviti kempen mereka, termasuk acara yang dihadiri Najib ketika berkempen untuk calon MCA, Nicole Tan Hiang Kee di kerusi DUN Perling.

BERITA BERKAIT
POPULAR