Pegawai bank tak dapat sahkan wang RM63,000 milik peribadi Shahrir

July 27, 2022 · Isu semasa

Seorang pegawai bank hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa beliau tidak dapat mengesahkan sama ada wang berjumlah RM63,800 yang dimasukkan ke dalam akaun bank atas nama sebuah syarikat kejuruteraan dan pembinaan, adalah milik peribadi Tan Sri Shahrir Ab Samad.

Pengurus Perkhidmatan Perbankan, Public Bank Berhad, Tan Kok Kiong, 32, berkata beliau juga tidak dapat mengesahkan duit berkenaan yang dimasukkan menerusi cek bertarikh 22 Mac 2014 ke dalam akaun Public Bank atas nama ZAM Engineering & Construction telah diamanahkan kepada Shahrir, menurut laporan Bernama.

Saksi pendakwaan ketiga itu berkata demikian semasa pemeriksaan balas oleh peguam Shazreen Mohd Hatta, yang mewakili Shahrir pada perbicaraan kes bekas pengerusi Felda itu yang berdepan tuduhan gagal mengisytiharkan RM1 juta yang diterima daripada Datuk Seri Najib Tun Razak kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Tan, yang bertugas di Public Bank Cawangan Muar bersetuju dengan cadangan peguam, bahawa beliau tidak dapat mengesahkan sekiranya wang yang masuk ke dalam akaun bank syarikat itu sebenarnya digantikan semula oleh Shahrir.

Terdahulu, Tan ketika membacakan pernyataan saksinya berkata permohonan pembukaan akaun itu telah dibuat oleh dua individu, Hamidah Basir dan Nur Faizah Zulkifli, selaku rakan kongsi bagi syarikat ZAM Engineering & Construction pada 25 Jan 2013 dan cek berjumlah RM63,800 didepositkan ke dalam syarikat tersebut pada 24 Mac 2014.

Saksi berkata transaksi kemasukan wang RM63,800 itu merupakan transaksi biasa yang tidak mencurigakan kerana ia bukan jumlah yang besar bagi akaun syarikat.

Disoal Shazreen jika berlaku keadaan yang mencurigakan dalam transaksi melibatkan cek, pihak bank ada hak untuk tidak meneruskan transaksi berkenaan, Tan menjawab: Betul.

Shazreen: Baki terakhir dalam akaun Public Bank itu adalah RM529.60 sebelum wang RM63,800 masuk ke dalam akaun bank berkenaan. Adakah kemasukan RM63,800 itu secara tiba-tiba, adalah sesuatu yang mencurigakan?

Tan: Tidak, kerana syarikat itu sebuah syarikat pembinaan dan mungkin dapat pembayaran untuk kontrak.

Disoal semula Timbalan Pendakwa Raya Natrah Fareha Rahmat, saksi menyatakan, beliau hanya boleh mengesahkan terdapatnya kemasukan wang namun tidak boleh mengesahkan sumber wang tersebut.

Sementara itu, Penolong Pengurus Cawangan Malayan Banking Berhad, Salniza Abdul Rahman, 49, memberitahu mahkamah terdapat kemasukan wang RM10,000 melalui sekeping cek ke dalam akaun Maybank Umno Cawangan Taman Kebun Teh, Johor pada 10 Dis 2013.

Menurut saksi pendakwaan keempat itu, akaun Umno cawangan itu dikendalikan tiga individu iaitu Shahril @ Shahrir Ab Samad selaku Ketua Cawangan ketika itu, Bendahari cawangan Murad Mohd Taib dan Setiausaha Mohd Salaehudin Ali.

Shahrir, 72, didakwa melibatkan diri dalam pengubahan wang haram dengan tidak melaporkan pendapatan sebenar dalam borang cukai pendapatan yang bertentangan dengan Seksyen 113 (1) (a) Akta Cukai Pendapatan 1967, iaitu tidak mengisytiharkan pendapatan diterima daripada Najib berjumlah RM1 juta melalui sekeping cek yang kemudiannya dimasukkan ke dalam akaun bank milik tertuduh.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di LHDN, Cawangan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim di sini, pada 25 April 2014.

Pertuduhan mengikut Seksyen 4 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM5 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin bersambung esok.

Berita berkaitan
Anwar bantah permohonan ujian poligraf dibuat Yusoff Rawther: Laporan
March 30, 2024· Politik
Saman fitnah: Rayuan Jamal ditolak, perlu bayar RM300 ribu kepada Kok
March 27, 2024· Isu semasa
Selepas Zahid, Isa Samad juga dibebas daripada tuduhan rasuah RM3 juta
March 6, 2024· Politik
Isteri Tun Daim cabar kesahihan pertuduhan SPRM di Mahkamah Tinggi
March 5, 2024· Isu semasa
Popular
SPRM ambil keterangan kedua Menteri DAP: Laporan
April 19, 2023
Ketahui hak harta sepencarian selepas bercerai
January 12, 2022
Atasi segera isu pemerdagangan manusia
August 27, 2022
Punca penderaan di taska meningkat
April 24, 2022
Lagi Isu semasa terkini
Rayuan Rosmah dalam kes rasuah solar didengar pada 23 Okt
April 23, 2024 · Isu semasa
Semua 10 mayat mangsa nahas helikopter berjaya dikeluarkan
April 23, 2024 · Isu semasa
Jualan saham pelabur asing tertinggi empat tahun minggu lalu: MIDF
April 22, 2024 · Isu semasa
KWSP jual pegangan saham terbesar dalam Affin Bank
April 18, 2024 · Isu semasa
Ringgit ditutup paras RM4.79 berbanding dolar, hampir cecah rekod 1997
April 18, 2024 · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Mahathir dakwa SPRM ugut Mirzan untuk dakwa dirinya
January 22, 2024
[VIDEO] Siasat saya senang, yang susah siasat PM sebab ada kuasa, kata Mahathir
January 22, 2024

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok