Pegawai APM ceroboh lokasi tanah runtuh, polis buka kertas siasatan

Polis membuka kertas siasatan susulan tular klip video di Facebook berkaitan seorang pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) memasuki kawasan tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2, Ampang, tanpa kebenaran, Khamis lalu

IPD Ampang Jaya mengesan klip video menunjukkan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya selaku Komander Operasi Bencana sedang memberi arahan dan kawalan tempat kejadian tanah runtuh di kawasan Jalan Mega Jaya, Taman Mega, Ampang, Selangor.

Antara isi kandungan dalam video itu menunjukkan salah seorang pegawai APM telah ingkar arahan yang diberikan, malah telah memasuki lokasi bencana tanpa kebenaran.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asistem Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata selain pegawai APM itu, pemilik laman Facebook tersebut yang menular klip video berkenaan juga disiasat mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan.

“Ia berikutan kenyataan-kenyataan yang mendatangkan khianat awam dan Seksyen 188 Kanun Keseksaan kerana mengingkari perintah yang diisytiharkan oleh penjawat awam.

“Ketika kejadian, pasukan penyelamat dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor serta Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) telah berada di dalam kawasan kejadian dalam usaha mencari dan menyelamat mangsa yang tertimbus,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kedua-dua individu itu turut disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi & Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian dan akan dipanggil bagi dirakam kenyataan dalam masa terdekat.

Mohamad Farouk berkata beliau sebagai Komander Operasi Bencana dalam kejadian berkenaan tidak membenarkan pasukan APM memasuki tempat bencana setelah penilaian situasi dibuat dari segala sudut aspek keselamatan dan ruang yang terlalu sempit dan terhad.

Beliau turut menasihati orang ramai agar tidak menyebarkan sebarang kandungan dan menyalahgunakan perkhidmatan komunikasi dan media sosial tanpa membuat pengesahan terlebih dahulu.

Dalam video berdurasi selama 55 saat itu yang tular sejak semalam, pegawai APM berkenaan dilihat mempersoalkan tindakan Mohamad Farouk yang tidak membenarkan pasukan APM memasuki kawasan bencana berkenaan.

Dalam kejadian kira-kira 6 petang Khamis lalu tanah runtuh berlaku di Taman Bukit Permai 2, Ampang dekat sini, meragut empat nyawa dan menyebabkan seorang cedera ringan selain menyaksikan 15 rumah serta 10 kenderaan terjejas.

BERITA BERKAIT
POPULAR