Pecah amanah: Najib diarah fail pembelaan saman SRC International

September 2, 2021 · Isu semasa

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengarahkan bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak menjawab saman yang difailkan SRC International Sdn Bhd terhadapnya berhubung dakwaan pecah amanah dan pelanggaran kewajipan statutori berkaitan dana SRC sebanyak RM42 juta, selewat-lewatnya pada 11 Oktober ini.

Memetik Bernama, seorang peguam daripada Rosli Dahlan Saravana Partnership yang bertindak bagi pihak SRC, mahkamah juga mengarahkan plaintif (SRC) memfailkan jawapan terhadap pembelaan itu selewat-lewatnya pada 13 Disember ini.

“Mahkamah menetapkan pengurusan kes selanjutnya pada 14 Disember ini secara dalam talian (e-Review),” katanya ketika dihubungi pemberita selepas prosiding pengurusan kes hari ini yang dikendalikan secara dalam talian di hadapan Penolong Kanan Pendaftar Noordura Mohamed Din.

SRC, anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan Gandingan Mentari Sdn Bhd (GMSB), anak syarikat milik penuh SRC, memfailkan writ saman pada 7 Mei lalu, mendakwa Najib melakukan pecah amanah, menyalahgunakan kuasa dan memperoleh manfaat peribadi daripada dana SRC selain menyeleweng dana berkenaan.

Najib adalah Penasihat Emeritus SRC dari 1 Mei 2012 hingga 4 Mac 2019.

SRC yang kini dimiliki sepenuhnya oleh Menteri Kewangan (Diperbadankan) (MKD) mendakwa melalui satu surat pelantikan bertarikh 3 Sept 2014, SRC telah melantik Ihsan Perdana Sdn Bhd (IPSB) (dahulu dikenali sebagai Gem Horizon Sdn Bhd) sebagai rakan kongsi Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR).

Dakwanya, antara Disember 2014 dan April 2015, SRC telah mengeluarkan dana berjumlah RM123 juta ke dalam akaun bank IPSB yang kononnya untuk tujuan CSR dan geran telah diberikan kepada IPSB tanpa kelulusan daripada Lembaga SRC dan GMSB.

Plaintif mendakwa IPSB memindahkan dana yang diterima di bawah geran itu kepada pelbagai pihak ketiga bagi pihak IPSB termasuk sejumlah RM42 juta telah dipindahkan ke dua akaun milik Najib kononnya untuk tujuan CSR antara Disember 2014 dan Februari 2015.

SRC juga mendakwa Najib dalam kapasitinya selaku perdana menteri, menteri kewangan dan penasihat emeritus SRC ketika itu bertindak secara tidak jujur dalam membantu bekas pengarah SRC dan bekas pengarah GMSB dalam melanggar pelbagai kewajipan statutori dan melakukan pecah amanah apabila gagal untuk memeriksa dengan pihak Bank AmIslamic mengenai jumlah penyelewengan yang dimasukkan ke dalam akaun-akaun bank Najib.

Oleh itu, plaintif antara lain menuntut deklarasi bahawa plantif berhak mengikuti dan mengesan wang RM42 juta itu dan menuntut hak milik ekuiti ke atas wang tersebut atau sebarang harta yang diperoleh Najib dengan menggunakan wang berkenaan selain menuntut ganti rugi am, teladan dan teruk.

Pada 28 Julai tahun lalu, Najib dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta, selepas didapati bersalah terhadap tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd (SRC).

Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali, memerintahkan bekas Perdana Menteri itu dijatuhi hukuman penjara 10 tahun masing-masing bagi tiga tuduhan pecah amanah.

Beliau juga menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta atau tambahan lima tahun penjara jika gagal membayarnya kepada Ahli Parlimen Pekan itu bagi satu tuduhan menyalahgunakan kedudukan.

Sementara itu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) memfailkan permohonan bagi mendapatkan kebenaran untuk mengeluarkan dan menyampaikan writ saman difailkan syarikat itu terhadap enam pihak termasuk dua syarikat perbankan di luar negara.

Enam pihak itu ialah syarikat perbankan Coutts & Co Ltd dan J.P. Morgan (Switzerland) Ltd; dua syarikat yang diperbadankan di Arab Saudi iaitu Petrosaudi International Limited dan Petrosaudi Holdings (Cayman) Limited; serta dua individu masing-masing warga Arab Saudi, Tarik Isam Ahmed Obaid (Tarik Obaid) dan warga Britain, Patrick Andrew Marc Mahony (Patrick Mahony).

Kesemua pihak tersebut merupakan defendan kedua hingga ketujuh dalam tuntutan saman difailkan 1MDB bernilai US$1.83 billion antaranya atas dakwaan melanggar kontrak, cuai dan melakukan konspirasi jenayah bagi penyelewengan dana 1MDB.

Berdasarkan salinan dokumen yang diperoleh Bernama menerusi sistem kehakiman hari ini, 1MDB selaku plaintif secara ex-parte telah memfailkan notis permohonan itu secara berasingan menerusi Tetuan Rosli Dahlan Saravana Partnership di Mahkamah Tinggi di sini pada 27 Ogos lalu, untuk mengeluarkan dan menyampaikan writ saman serentak bagi penyampaian di luar bidang kuasa.

Permohonan itu difailkan atas alasan defendan kedua hingga kelima menjalankan perniagaan mereka di luar Malaysia antaranya di Zurich dan Geneva, Switzerland; Al Khobar di Arab Saudi dan Grand Cayman di Cayman Islands manakala bagi defendan keenam dan ketujuh, mereka bermastautin di luar negara iaitu Tarik Obaid di Al-Khobar, Arab Saudi manakala Patrick Mohany di London, Britain.

Dalam permohonan itu, plaintif turut memohon kebenaran diberikan kepadanya untuk menyampaikan notis writ saman serentak terhadap kesemua defendan, iaitu di mana tempat mereka dapat ditemui.

Berdasarkan hasil semakan di laman web kehakiman, pendengaran permohonan tersebut ditetapkan pada 30 September ini di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Quay Chew Soon.

Pada 7 Mei lalu, 1MDB memfailkan saman itu dengan menamakan Deutsche Bank (Malaysia) Bhd, Coutts & Co, J.P. Morgan (Switzerland), Petrosaudi International, Petrosaudi Holdings (Cayman), Tarik Obaid dan Patrick Mahony sebagai defendan pertama hingga ketujuh.

Plaintif mendakwa kesemua defendan cuai, melanggar kontrak dan berkonspirasi untuk menipu 1MDB sehingga menyebabkan kerugian kepada syarikat berkenaan serta menjejaskan reputasi dan nama baik 1MDB.

Berita berkaitan
Rafizi balas kecaman Puad, ‘dia saja seorang bising’
March 27, 2024· Politik
Perbicaraan 1MDB: Saksi beritahu perbincangan atas kapal tiada wakil pegawai kerajaan
January 5, 2024· Isu semasa
Saksi kes 1MDB Najib positif Covid-19, perbicaraan disingkatkan
December 15, 2023· Isu semasa
1MDB: SPRM tak teruskan permohonan dapatkan dokumen dari peguam
December 5, 2023· Isu semasa
Popular
[KEMAS KINI] Najib pecat peguam cara firma guaman Zaid Ibrahim
August 19, 2022
Bajet 2024: Cukai perkhidmatan naik jadi 8%, subsidi minyak diesel dimansuhkan
October 13, 2023
Awesome TV digantung penyiaran bermula 2 November
October 19, 2023
Jangan berhimpun Rabu ini: Amaran polis
June 28, 2021
Lagi Isu semasa terkini
Polis sedang kesan individu hina Sultan Selangor, dipercayai berada luar negara
March 27, 2024 · Isu semasa
Saman fitnah: Rayuan Jamal ditolak, perlu bayar RM300 ribu kepada Kok
March 27, 2024 · Isu semasa
Kata masuk pelaburan berbilion, Rafidah terkejut kilang tayar tutup
March 7, 2024 · Isu semasa
Laman akaun Facebook tak boleh diakses jutaan pengguna
March 5, 2024 · Isu semasa
Ahli Parlimen blok kerajaan juga tak setuju cukai SST dinaikkan
March 5, 2024 · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Mahathir dakwa SPRM ugut Mirzan untuk dakwa dirinya
January 22, 2024
[VIDEO] Siasat saya senang, yang susah siasat PM sebab ada kuasa, kata Mahathir
January 22, 2024

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok