PDRM sekali lagi mohon notis merah Interpol terhadap Ganeparan

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abdul Jalil Hassan.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memohon sekali lagi kepada Polis Antarabangsa (Interpol) supaya mengeluarkan notis merah terhadap N Ganeparan, 39, yang mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan, perkauman serta jelik terhadap institusi diraja dan kerajaan menerusi satu rakaman video, baru-baru ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abdul Jalil Hassan sebelum ini PDRM pernah membuat permohonan sama pada 22 Disember tahun lalu tetapi ditolak atas alasan ‘hak bersuara’.

Lelaki itu dipercayai berada di Jerman, setelah semakan dengan Jabatan Imigresen mendapati pergerakan keluar terakhirnya ialah pada 2 November 2017 melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dan status pasportnya telah dibatalkan pada 25 November tahun lepas.

“Jadi nak kata Interpol tak layan pun, kami pun tak tahu apa statusnya disebabkan mereka mengatakan hak bersuara bagi orang ramai terpelihara dan tidak boleh dicampuri.

“Permohonan kami ditolak dengan merujuk kepada Artikel 3 Perlembagaan dan Peraturan Interpol yang menyebut bahawa organisasi adalah dilarang campur tangan berkaitan watak politik, ketenteraan, agama dan kaum dalam mengeluarkan sesuatu notis merah ke atas mana-mana individu yang dikehendaki pihak berkuasa sesebuah negara,” katanya.

Bagaimanapun, katanya proses rayuan akan dikemukakan semula kepada Interpol untuk membolehkan pihak berkuasa antarabangsa itu memberi kerjasama kepada PDRM dan mengeluarkan notis merah yang diperlukan untuk mendapatkan individu itu yang kini bebas di Jerman.

Kelmarin, Abd Jalil dalam kenyataan, berkata satu siasatan dijalankan Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman Bahagian Pendakwaan/Undang-undang (D5), JSJ Bukit Aman ke atas Ganesparan selepas tular satu video bertajuk ‘Racist in Vacine Malaysia’ dimuat naik di laman Facebook lelaki itu.

Katanya, lelaki di dalam video itu mendakwa vaksin berkualiti rendah dan tidak berkesan dari China jenama ‘Sinovac’ diberikan kepada golongan bukan muslim manakala muslim diberikan vaksin berkualiti tinggi jenama ‘Pfizer’.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Tahun lalu, PDRM turut menjalankan siasatan terhadap Ganeparan susulan dakwaannya melalui satu rakaman video kononnya lebih 200 tahanan lokap mati akibat kekerasan polis antara 2000 hingga 2014.

Mengulas lanjut, Abd Jalil berkata, PDRM tidak akan berputus asa dalam usaha mendapatkan serta membawa pulang individu terbabit ke negara ini untuk dihadapkan ke muka pengadilan secepat mungkin.

“Kita akan berusaha meyakinkan Interpol untuk mengeluarkan notis merah ke atas Ganesparan dengan mengambil kira faktor dan persekitaran budaya rakyat di negara Malaysia.

“Rakyat akan gusar dan risau jika tidak membetulkan keadaan bagi menangani hasutan tidak berasas oleh suspek yang dikehendaki ini.

“Inilah yang PDRM sangat utamakan dan kita mahu memaklumkan kepada Interpol bahawa notis merah ke atas Ganesparan sangat wajar dan perlu disegerakan,” katanya.

Hina institusi raja: Pemilik akaun Facebook disyaki ada di Jerman

POPULAR