
Teow Wooi Huat digelar "Jho Low 2.0" sedang ditahan di Thailand ketika ini.
Ahli perniagaan Malaysia yang menjadi buruan Teow Wooi Huat akan dibawa pulang Malaysia bagi menghadapi pendakwaan.
Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan sedang memohon kepada pihak berkuasa Thailand untuk membawa pulang lelaki berusia 55 tahun yang digelar “Jho Low 2.0” selepas ditahan dalam satu serbuan baru-baru ini.
Setiausaha PDRM Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, lelaki berusia 55 tahun itu kini dalam tahanan pihak berkuasa Thailand.
“Penama adalah individu yang disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
“PDRM sedang dalam proses permohonan untuk penama dihantar pulang ke Malaysia bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sabtu lalu, media melaporkan visa Teow dibatalkan dan sedang menunggu untuk diusir keluar oleh pihak berkuasa Thailand.
Teow yang digelar “Jho Low 2”, merujuk kepada seorang lagi ahli perniagaan Malaysia yang sedang diburu Low Taek Jho dikaitkan dengan skandal 1Malaysia Develoment Berhad (1MDB), telah melarikan diri ke Dannok di Sadao pada 2020.
Bangkok Post melaporkan Teow mengasaskan MBI Group dan mengendalikan kompleks hiburan termasuk resort di bandar Danok di sempadan Thailand-Malaysia.
Teow membina empayar perniagaan daripada skim pelaburan dalam talian yang memikat pelabur dari China, Thailand, Malaysia, Indonesia dan Macau.
Pada 2017, Teow pada mulanya telah ditahan Biro Kawalan Narkotik (NSB) Thailand atas tuduhan kesalahan dadah, namun dia melarikan diri dari Songkhla dan terlepas daripada hukuman mati.
Pada 2019, pihak berkuasa Malaysia membekukan 91 akaun bank berjumlah RM177 juta yang dikaitkan dengan MBI Group International ketika itu. Bank Negara telah menyenaraikan syarikat itu sebagai syarikat yang menjalankan skim kewangan meragukan.