PDRM kekal momentum turunkan kadar jenayah: PM

Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya mengekalkan momentum kecemerlangan dalam penurunan indeks jenayah negara sekali gus membuktikan kredibiliti tinggi dalam menjaga keamanan negara.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata walaupun hampir seluruh kekuatan jentera pasukan dikerah untuk penugasan Op Covid-19, PDRM tetap komited mengimbangi keutamaan perkhidmatan memerangi jenayah dan mengekalkan keharmonian masyarakat serta keamanan negara.

Beliau berkata jenayah indeks bagi tahun 2021 menunjukkan penurunan iaitu 52,974 kes berbanding 65,623 kes pada 2020, lapor Bernama.

Bagi tempoh Januari hingga Februari tahun ini pula, jenayah indeks turut turun kepada 8,484 kes berbanding 9,773 kes dalam tempoh sama tahun lepas.

“Kerajaan mengucapkan terima kasih kepada anggota PDRM yang sanggup mengetepikan kepentingan diri, berhujan panas, memerah keringat dan mendedahkan diri kepada risiko jangkitan dan bencana,” katanya berucap pada sambutan Peringatan Hari Polis ke-215 di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin; Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani dan Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Affendi Buang.

Ismail Sabri turut melahirkan penghargaan terhadap anggota PDRM, sebagai barisan hadapan yang banyak membantu meringankan beban Keluarga Malaysia ketika pandemik Covid-19.

Beliau berkata negara akan memasuki fasa peralihan ke endemik mulai 1 April, namun memohon rakyat untuk bekerjasama mematuhi prosedur operasi standard (SOP) seperti pemakaian pelitup muka.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata kerajaan sedar tugas kepolisan dalam menangani kes jenayah semakin kompleks, terutama dengan kewujudan teknologi dan pelbagai aplikasi media sosial yang disalah guna untuk perbuatan jenayah.

Beliau berkata semua ini menuntut PDRM menanganinya secara tegas, strategik dan berkesan demi memastikan keselamatan negara dan ketenteraman awam terpelihara.

Ismail Sabri berkata kerajaan amat prihatin terhadap keperluan PDRM untuk meningkatkan keupayaan dalam menghadapi dan membanteras kejadian jenayah kerana soal keselamatan bukan perkara yang boleh dipandang remeh.

Bagaimanapun, Perdana Menteri berkata dalam konteks menjaga keamanan negara, bebanan itu tidak sepatutnya diletakkan atas bahu pasukan keselamatan seperti PDRM semata-mata.

“Saya menyeru kepada seluruh Keluarga Malaysia supaya berganding bahu dan bekerjasama dengan PDRM bagi mengurangkan jenayah dan membanteras tindakan anasir yang cuba menggugat kedaulatan negara dan ketenteraman awam,” katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR