Patuhi SOP pada hari mengundi esok: SPR

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengingatkan pengundi yang akan mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor esok, agar mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Setiausaha SPR Datuk Ikmalrudin Ishak berkata semua pengundi diwajibkan memakai pelitup muka, menggunakan pensanitasi tangan, merekodkan kehadiran serta mengamalkan penjarakan fizikal.

“Petugas pilihan raya akan memantau pergerakan pengundi bagi memastikan garis panduan dipatuhi, sepanjang berada dalam pusat mengundi,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata pensanitasi tangan akan dibekalkan di semua pusat mengundi, dan pengundi perlu melalui penggunaan pensanitasi tangan di empat stesen dalam pusat mengundi.

Empat stesen itu ialah di pintu masuk pusat mengundi, pintu masuk saluran, dalam saluran iaitu selepas proses mencelup jari dengan dakwat kekal iaitu sebelum menerima kertas undi, dan sebelum keluar dari pusat mengundi.

Ikmalrudin berkata pengundi yang bergejala tetap dibenarkan mengundi di khemah khas, yang dipantau oleh pegawai kesihatan.

Pengundi berstatus individu dalam siasatan (PUI) dan individu dalam pengawasan (PUS) yang ingin mengundi, hendaklah memohon kebenaran daripada pegawai kesihatan daerah, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) yang mengawasi Arahan Perintah Pengawasan dan Pemerhatian berkenaan, untuk keluar sementara ke pusat mengundi.

“Kebenaran ini adalah tertakluk kepada penilaian risiko jangkitan oleh pegawai kesihatan daerah tersebut, dan pengundi perlu mematuhi semua garis panduan yang ditetapkan oleh KKM (Kementerian Kesihatan),” katanya.

Ikmalrudin berkata calon dan petugas yang memasuki pusat mengundi diingatkan tidak memakai baju, topi, pelitup muka atau membawa material yang mempunyai nama, simbol, gambar parti atau calon yang bertanding, atau apa-apa bahan kempen serta sebarang ‘tagline’ atau slogan kempen yang menjurus atau membawa maksud sokongan atau cenderung kepada mana-mana fahaman politik.

“Mana-mana pengundi atau individu yang gagal mematuhi undang-undang boleh dihalang dari memasuki pusat mengundi dan dikenakan tindakan undang-undang,” katanya.

Mengingatkan bahawa tempoh rasmi berkempen tamat pada 11.59 malam, 11 Mac, Ikmalrudin berkata semua pihak hendaklah menghentikan sebarang bentuk aktiviti berkempen, termasuk aktiviti merayu undi.

“Mana-mana pihak tidak boleh merayu undi termasuklah di luar pusat mengundi dan juga melalui saluran media sosial seperti Facebook, Twitter, Instagram dan lain-lain.

“Membuka, membina atau menyelenggara barung semasa hari mengundi adalah dilarang, dan mana-mana pihak yang melakukan kesalahan tersebut akan diambil tindakan undang-undang,” katanya.

Seramai 2,539,606 pengundi biasa daripada 2,597,742 pengundi berdaftar, layak mengundi esok.

Sebanyak 1,021 pusat mengundi dan 4,638 saluran akan dibuka.

BERITA BERKAIT
POPULAR