
Seorang lelaki merempuh kereta bekas tunangnya berkali-kali dalam kejadian di Sandakan semalam (15 Julai 2022).
Kecewa setelah pertunangan diputuskan, seorang lelaki bertindak nekad merempuh kereta bekas tunangnya menggunakan kereta sendiri.
Susulan itu, polis daerah Sandakan menahan suspek terbabit setelah klip video berdurasi 30 saat tular di media sosial pada Jumaat (15 Julai).
Ketua Polis Daerah Sandakan Asisten Komisioner Abdul Fuad Abdul Malek berkata mangsa berusia dalam lingkungan 20-an membuat laporan berhubung kejadian di Hentian Rehat dan Rawat Fitra Bandar Indah pada Jumaat.
Tambahnya, polis telah menahan suspek pada jam 11.15 malam hari yang sama.
“Motif dipercayai kerana suspek kecewa dengan wanita itu yang memutuskan pertunangan mereka,” katanya.
Katanya, suspek kini direman untuk siasatan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dan menyebabkan kerugian atau kerosakan harta benda individu lain.