Pastikan penumpang pengangkutan awam lengkap divaksinasi

Semua operator pengangkutan awam meliputi darat, udara dan laut diarah memastikan orang ramai mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi mengekang penularan Covid-19.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Wee Ka Siong berkata operator pengangkutan seperti bas ekspres, rel, teksi dan e-hailing mesti memastikan penumpang mereka menunjukkan sijil lengkap vaksinasi.

“Semua operator perlu memastikan setiap penumpang atau pengguna perkhidmatan pengangkutan awam menunjukkan sijil vaksinasi bagi membuktikan mereka telah lengkap divaksinasi sebagaimana yang dikehendaki dalam SOP bagi tujuan rentas negeri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, pematuhan SOP lain seperti memakai pelitup muka dan kerap mencuci tangan atau menggunakan cecair pembasmi kuman juga perlu dipatuhi tanpa kompromi.

Wee berkata pengguna pengangkutan awam turut digalakkan membuat ujian saringan Covid-19 kendiri sebelum memulakan perjalanan rentas negeri bagi melindungi diri sendiri, keluarga dan orang sekeliling.

Pada masa sama, Kementerian Pengangkutan turut mengucapkan penghargaan kepada petugas barisan hadapan negara yang telah bertungkus-lumus menjalankan tugas sehingga kadar vaksinasi dewasa kini mencecah lebih 90 peratus.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan aktiviti rentas negeri dibenarkan berkuat kuasa hari ini bagi mereka yang lengkap vaksinasi.

Selain itu, rakyat Malaysia yang ingin ke luar negara juga tidak lagi perlu memohon My Travel Pass seperti sebelum ini.

BERITA BERKAIT
POPULAR