‘Pastikan pemilik bot ada lesen’

Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kedah dan Perlis mengingatkan pelancong atau pemancing mengutamakan aspek keselamatan bagi mengelak sebarang insiden yang tidak diingini.

Pengarahnya Laksamana Pertama Maritim Mohd Zawawi Abdullah berkata pelancong yang ingin menyewa bot bagi tujuan rekreasi atau aktiviti menangkap ikan perlu sentiasa memeriksa tahap keselamatan dan memastikan pemilik bot memiliki lesen yang sah.

“Utamakan keselamatan diri, semak ramalan kaji cuaca sebelum turun ke laut, pakai jaket keselamatan, bawa PLB, pastikan anda mempunyai bekalan makanan dan minumam yang mencukupi, maklum ahli keluarga tentang keberadaan anda,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan ketika menjelaskan operasi menyelamat 18 pemancing, termasuk kru sebuah bot yang karam di Langkawi, petang semalam.

Untuk rekod katanya, insiden terbaharu semalam adalah operasi carilamat kedua ke atas bot yang sama, di mana pada September 2021 juga telah dilaporkan hampir karam bersama 17 kru dan pemancing.

Mengenai operasi yang berakhir malam tadi, Mohd Zawawi berkata semua pemancing dan kru bot yang karam itu diselamatkan oleh sebuah bot nelayan tempatan pada jam 7.30 malam tadi.

Katanya bot pancing yang dinaiki karam sepenuhnya sekitar jam 2.15 petang pada kedudukan 9.4 batu nautika, barat, Pulau Beras Basah, Langkawi.

“Kesemua mangsa dipindahkan ke Bot Penyelamat 5 Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di kedudukan lebih kurang 15.3 batu nautika, barat Pulau Singa Besar, Langkawi pada jam 11.05 malam tadi.

Beliau berkata dua daripada 18 mangsa yang mengalami kecederaan di tangan dan kekejangan otot kaki dikejarkan ke Hospital Sultanah Maliha, Langkawi bagi mendapatkan rawatan sebaik tiba di jeti Maritim Malaysia Bukit Malut pada jam 11.45 malam tadi.

“Kesemua mangsa berusia lingkungan antara 26 hingga 55 tahun merupakan warga tempatan. Siasatan mendapati bot tersebut telah pecah di bahagian hadapan akibat dipukul ombak lalu bocor menyebabkan karam dalam tempoh 45 minit.

“Sementara menunggu bantuan menyelamat tiba, mereka memakai jaket keselamatan sambil berpegang tangan antara satu sama lain membentuk kumpulan di dalam air, sebelum ditemui dan diselamatkan oleh sebuah bot nelayan tempatan yang melalui lokasi kejadian.

“Berikutan penemuan ini, Operasi CARILAMAT ditamatkan pada jam 12.30 tengah malam tadi,” katanya.

Maritim Malaysia juga mengalu-alukan maklumat daripada seluruh komuniti maritim untuk melaporkan sebarang kecemasan di laut secara terus ke talian Pusat Operasi Maritim Negeri Kedah dan Perlis 04-9662750 atau MERS 999.

Seorang pemancong yang cedera dihantar ke Hospital Sultanah Maliha, Langkawi bagi mendapatkan rawatan sebaik tiba di jeti Maritim Malaysia Bukit Malut pada jam 11.45 malam tadi. – Gambar Maritim Malaysia

 

BERITA BERKAIT
POPULAR