
Siti Nuramira Abdullah (gambar kiri) akan didakwa di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan kerana menghina Islam esok.
Pasangan kekasih yang didakwa menghina Islam melalui persembahan komedi di sebuah kelab di Taman Tun Dr Ismail di ibu negara, hari ini dibebaskan setelah membayar wang jaminan RM40,000.
Siti Nuramira Abdullah dan kekasihnya V Alexander Navin sebelum ini ditahan di penjara setelah gagal membayar wang jaminan ketika kedua-duanya dituduh di mahkamah berasingan di Kuala Lumpur dan Petaling Jaya.
Kedua-dua tertuduh dijamin oleh rakan mereka dengan masing-masing RM20,000 seorang.
Memetik Utusan, penjamin Siti Nuramira hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, manakala seorang lagi rakan mereka menjamin Navin di Kompleks Mahkamah Petaling Jaya.
Peguam bela kedua-dua tertuduh, R Sivaraj berkata kos jaminan itu dikumpul menerusi sumbangan orang awam daripada dalam dan luar negara yang dimasukkan menerusi akaun bank Lawyers For Liberty (LFL).
“Kami tidak mempunyai sebarang maklumat mengenai identiti penjamin namun duit jaminan itu merupakan sumbangan orang ramai. Atas jasa baik LFL, kami dibenarkan untuk menggunakan bank akaunnya sebagai medium untuk mengumpul dana berkenaan.
“Setakat ini, kami belum tahu bila Siti Nuramira dan teman lelakinya akan dibebaskan kerana mereka perlu menjalani beberapa prosedur termasuk ujian Covid-19 sebelum boleh dibebaskan,” katanya ketika ditemui media di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.
Bagaimanapun, Sivaraj berharap anak guamnya boleh dibebaskan hari ini ataupun selewat-lewatnya esok.
Siti Nuramira, 28, ditahan di penjara satelit Beranang manakala Navin, 38, ditempatkan di penjara satelit Kuala Kubu Bharu sejak 13 Julai lalu, setelah gagal membayar wang jaminan.
Pada tarikh sama, Siti Nuramira mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan menimbulkan rasa tidak harmoni dalam kalangan masyarakat Islam ketika melakukan persembahan di Kelab Komedi Crackhouse di Taman Tun Dr Ismail pada 4 Jun lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 298A(1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum dua tahun dan maksimum lima tahun jika sabit kesalahan.
Sementara itu, Navin mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya atas dua pertuduhan memuat naik kandungan menghina di laman sosial Instagram dan Youtube milik pasangan itu.
Kedua-dua pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia yang memperuntukkan hukuman denda RM50,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya dan boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.