
Perkahwinan di Thailand yang tidak didaftarkan semula turut memberikan risiko dalam isu berkaitan pemilikan harta.-Gambar hiasan
Awal tahun 2023 rakyat Malaysia digemparkan dengan perkahwinan kedua seorang pengarah dan pelakon terkemuka tanah air di Thailand baru-baru ini.
Tidak ramai yang ingin menyingkap atau mengambil tahu tentang sisi gelap perkahwinan di Thailand selepas dibutakan dengan keindahan mudahnya berkahwin di negara Gajah Putih itu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, sungguhpun perkahwinan itu sah di sisi agama, ia tetap tidak diiktiraf di sisi perundangan negara selagi tidak didaftarkan semula di Malaysia.
“Banyak implikasinya kelak jika tidak daftarkan pernikahan itu, seperti kemungkinan perkahwinan tersebut tidak sah dan jika tidak sah akan beri implikasi pada anak pula, anak yang lahir itu bagaimana statusnya?
“Bagaimana pula sekiranya terjadi perkara tidak diingini dalam perkahwinan seperti penderaan dan tidak beri nafkah? Si isteri dan anak itu akan tiada ruang untuk membuat sebarang tuntutan nafkah, failkan cerai dan sebagainya,” katanya.
Jelas beliau, perkara-perkara itu tidak boleh dituntut oleh si isteri dan anak sekiranya perkahwinan tersebut tidak didaftarkan di Malaysia kerana dari segi undang-undang, pasangan tersebut tidak pernah berkahwin.
“Lebih teruk apabila si anak kelak tidak boleh didaftarkan kelahirannya kerana badan kuasa yang ada autoriti untuk keluarkan perintah pendaftaran adalah mahkamah syariah, jika tidak daftarkan perkahwinan itu maknanya perintah pendaftaran tidak boleh dikeluarkan.
“Jika perintah pendaftaran tidak boleh dikeluarkan, pejabat agama pula tidak boleh keluarkan sijil nikah, seterusnya tidak boleh didaftarkan kelahiran anak itu di Jabatan Pendaftaran Negara,” jelas beliau.
Mohd. Na’im memaklumkan, perkahwinan di Thailand yang tidak didaftarkan semula turut memberikan risiko dalam isu berkaitan pemilikan harta, isu berkaitan locus untuk membuat tindakan di Mahkamah Syariah termasuklah pewarisan atau faraid selain jelas melakukan pelanggaran undang-undang yang boleh didakwa juga dihukum.
Dalam pada itu, konflik akibat perkahwinan yang tidak mendapat restu keluarga boleh memberikan kesan jangka panjang yang serius termasuk ‘childhood’ trauma terhadap anak-anak.
Sementara itu, perunding motivasi dan kaunseling, Hushim Salleh berkata, lebih memburukkan keadaan apabila masalah rumah tangga didedahkan di media sosial sehingga menyebabkan campur tangan pihak lain yang disifatkan sebagai ‘tidak sihat’.
Menurutnya, banyak kes diterima melibatkan anak yang berdepan dengan masalah trauma dan psikologi kesan daripada kahwin lari dan perkahwinan tidak direstui.
“Dalam kes yang saya kendalikan, ada suami sudah berkahwin lain sehingga enam tahun, baru isterinya tahu. Apabila tahu, memang akan berlaku perang besar.
“Kebanyakan wanita yang datang beritahu hidupnya sudah tidak tenteram, tidur pun tidak lena bila suami kahwin lain.
“Poligami tidak salah cuma jadi masalah bila suami merahsiakan perkahwinan itu. Tidak ada wanita yang boleh terima. Ada yang datang ke klinik saya sampai bergaduh dan selalunya wanita akan minta diceraikan,” katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.
Hushim menambah, terdapat 20 hingga 25 kes sebulan yang dikendalikannya membabitkan masalah rumah tangga, antaranya pasangan yang berkahwin baru, suami tidak memberi nafkah, pasangan yang dalam fasa bercerai dan suami ‘biawak hidup’.