
Bacaan kedua Bajet 2023 dijangka diadakan pada Jumaat (7 Oktober 2022.
Dewan Rakyat hari ini (26 Julai) meluluskan pelanjutan tempoh tahanan suspek di bawah Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma), setelah undian secara blok dilakukan.
Seramai 111 Ahli Parlimen mengundi menyokong rang undang-undang (RUU) itu manakala 88 Ahli Parlimen mengundi menentang dan 21 tidak hadir.
Nga Kor Ming (PH-Tanjung Malim) meminta usul itu dikemukakan untuk undian secara blok selepas lebih 15 Ahli Parlimen menyokong gesaan itu.
Usul yang dibentangkan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin itu menyaksikan bantahan keras daripada kerusi pembangkang.
Pada sidang Dewan Rakyat 23 Mac lalu, usul untuk melanjutkan penguatkuasaan subseksyen 4(5) Sosma yang membenarkan penahanan suspek sehingga 28 hari tanpa bicara, ditolak oleh ahli Parlimen.
Had lima tahun untuk peruntukan itu berakhir pada 31 Julai 2022.
Dalam pembentangan kali ini, Hamzah mengusulkan ia dilanjutkan lima tahun lagi mulai 31 Julai 2022, bagi membolehkan pihak berkuasa terus menggunakan peruntukan kuasa khas mengikut subseksyen berkenaan.
Langkah itu akan membolehkan polis melanjutkan tempoh penahanan individu yang ditangkap dan ditahan mengikut SOSMA sehingga 28 hari.
Ketika membentangkan usul itu, Hamzah menegaskan Subseksyen 4(5) SOSMA perlu dilanjutkan bagi memberi tempoh mencukupi untuk polis melengkapkan siasatan, dalam usaha menangani ancaman terhadap kedaulatan negara, keselamatan dan ketenteraman awam.
Tegasnya, siasatan membabitkan kesalahan keselamatan, khususnya jenayah keganasan dan jenayah terancang, adalah rumit dan kompleks serta memerlukan masa untuk dilengkapkan.
Katanya, lanjutan masa itu diperlukan polis bagi mendapatkan keterangan daripada individu ditahan ketika pengumpulan bukti bagi tujuan pendakwaan, termasuk pengesanan rakan subahat yang masih bebas.