Paras air lima sungai di Pahang melebihi tahap bahaya, makin naik

Paras air di lima sungai di Pahang hari ini, diletakkan dalam senarai melebihi tahap bahaya dengan enam daripadanya menunjukkan trend peningkatan, lapor Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Menurut siaran menerusi laman sesawang rasmi Public Infobanjir JPS, paras air di Sungai Bera yang dicatat di Jambatan Sungai Bera, mencapai 26.45 meter, melebihi tahap bahaya 26 meter.

Berikut adalah senarai baharu paras air di sungai-sungai di Pahang sehingga jam 2 petang ini:

1) Sungai Pahang di Water Front, Bera – paras air 30.94m telah melebihi tahap bahaya setinggi 29.5m;

2) Paya Gintong, Jerantut – paras air 47.44m telah melebihi tahap bahaya (45m);

3) Sungai Jengka di Jambatan Kampung Awah, Maran – paras air 29.7m telah melebihi tahap bahaya (29.4m);

4) Sungai Kundang di Jambatan Sungai Kundang, Maran – paras air 23.13m telah melebihi tahap bahaya (23m);

5) Sungai Pahang di Lubuk Paku, Maran – paras air 20.72m telah melebihi tahap bahaya (19m);

6) Sungai Pahang di Kuala Sungai Chini, Pekan – paras air 16.19m telah melebihi tahap bahaya (14.9m)

7) Sungai Pahang di Kuala Krau, Temerloh – paras air 42.72m telah melebihi tahap bahaya (40m); dan

8) Sungai Pahang di Temerloh (Lubuk Pasu), Temerloh – paras air 34.67m telah melebihi tahap bahaya (33m)

Sementara itu di Selangor, Sungai Langat di Bukit Changgang, Kuala Langat telah melebihi tahap bahaya apabila mencatat paras air setinggi 4.62 meter, manakala paras air di Sungai Selangor, Kampung Asahan, Kuala Selangor pula melebihi tahap amaran.

Di Kelantan, Sungai Golok di Rantau Panjang, Pasir Mas mencatat paras air setinggi 9.39 meter melebihi tahap bahaya 9 meter.

Sementara itu, penduduk di beberapa kawasan rendah dan berisiko ditenggelami air di Puchong, Selangor dilaporkan sudah membuat persiapan berpindah susulan tular klip video dalam media sosial mendakwa air Sungai Klang melimpah.

Klip video itul menunjukkan arus deras Sungai Klang, selain laporan mengatakan beberapa kawasan terjejas sebelum ini kembali dinaiki air.

Beberapa laluan juga terjejas pagi tadi, susulan peningkatan paras air sungai disebabkan hujan malam tadi, khususnya di susur masuk Tol PLUS Bukit Jelutong di Shah Alam, yang dinaiki air menyebabkan kesesakan berlaku dilaluan keluar masuk tol berkenaan.

Sementara itu, tujuh sungai di Selangor juga diletakkan di bawah paras waspada iaitu Sungai Kuang di Kampung Melayu Seri Kundang, Gombak; Sungai Langat di TNB Pangsun dan Sungai Langat di JPS Sungai Manggis, Hulu Langat; Sungai Bernam di Jambatan SKC, Hulu Selangor serta Sungai Selangor di Rantau Panjang, Kuala Selangor.

Tiga lagi sungai di Sungai Buloh di Parit Mahang, Kuala Selangor; Sungai Bernam di Rimba KDR, Sabak Bernam serta Sungai Langat di Dengkil, Sepang.

Tiga sungai utama Sungai Klang iaitu Sungai Klang di Taman Sri Muda, Sungai Rasau di Tugu Keris dan Sungai Klang di Bandar Klang, masih merekodkan paras normal.

BERITA BERKAIT
POPULAR