Papagomo lapor polis isu klip audio Zahid, Anwar

Papagomo menunjukkan salinan laporan yang dibuatnya di Balai Polis Setapak, Kuala Lumpur, malam tadi.

Satu laporan polis sudah dibuat di Balai Polis Setapak, Kuala Lumpur, malam tadi berkaitan klip audio antara Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Anwar Ibrahim minggu lalu.

Laporan itu dibuat Exco Pemuda UMNO Wan Muhammad Azri Wan Deris atau Papagomo bagi membolehkan polis menyiasat kesahihan dan dalang yang memalsukan audio rakaman perbualan itu.

“Saya memanjangkan laporan polis ini agar suatu siasatan menyeluruh dapat dilakukan bagi mengenal pasti kesahihan dan dalang yang memalsukan audio rakaman perbualan tersebut.

“Ia juga untuk menjaga nama baik institusi UMNO yang bertegas menolak kerjasama dengan PKR dan Dato’ Sri Anwar Ibrahim,” katanya selepas membuat laporan itu, malam tadi.

Dua hari lalu, Agenda Daily melaporkan satu klip audio suara mirip Anwar dan Zahid sedang berbincang strategi politik selepas Perhimpunan Agung UMNO 2020 (PAU) baru-baru ini.

Perbualan kedua-dua pemimpin itu sangat mesra dengan saling bertukar pandangan berhubung ucapan perwakilan ketika perhimpunan itu.

Berikutan itu, Presiden UMNO berkenaan menerima kecaman dan kritikan hebat daripada ahli UMNO yang mengesyaki beliau mempunyai pakatan ‘sulit’ dengan Presiden PKR.

Papagomo berkata, laporan polis juga dibuat kerana audio itu seolah-oleh cuba menunjukkan Zahid ‘berlakon’ ketika PAU 2020 dan wujud kerjasama dengan Anwar.

POPULAR