Panggilan telefon percuma 12 jam mulai 10 malam ini

Penyedia perkhidmatan telekomunikasi memberikan tawaran panggilan percuma mulai malam ini hingga pagi esok.

Syarikat telekomunikasi tempatan menyediakan panggilan percuma ke semua rangkaian dalam negara mulai 10 malam ini hingga 10 pagi esok sempena sambutan Aidilfitri pada Khamis.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah berkata, kemudahan yang digerakkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimediaitu dapat dinikmati semua pelanggan Celcom, Digi, Maxis, REDtone, TM Unifi, TIME dotCom, Tune Talk, U Mobile, Yoodo dan YES.

Bagaimanapun, katanya, setiap penyedia perkhidmatan akan memberikan tawaran panggilan percuma ini tertakluk kepada terma dan syarat masing-masing.

“Pelanggan dinasihati untuk menghubungi penyedia perkhidmatan masing-masing bagi sebarang pertanyaan tentang tawaran perkhidmatan ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Saifuddin berkata, kemudahan itu diharapkan dapat membantu rakyat Malaysia untuk saling berhubung dan mengeratkan silaturahim dengan keluarga tersayang serta rakan walaupun aktiviti ziarah tidak dibenarkan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berkuat kuasa mulai hari ini hingga 7 Jun di seluruh negara.

Saifuddin dalam pada itu turut menzahirkan ucapan penghargaan kepada syarikat telekomunikasi dan rakyat Malaysia yang memberikan kerjasama dalam pematuhan PKP kali ini demi mengekang jangkitan Covid19.

“Sama-sama kita berdoa agar lekuk pandemik ini dapat dilandaikan dengan pengorbanan dan usaha semua pihak. InsyaAllah kita semua akan dapat meneruskan kehidupan dan kelangsungan hidup, untuk masa depan yang lebih baik,” katanya.

POPULAR