Pandu uji kereta: MB Kedah akan dikompaun

Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor akan dikenakan kompaun berhubung kes memandu uji kereta di sebuah pusat jualan dan pameran kenderaan di Autocity Juru, Bukit Mertajam pada 5 Jun lalu.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata polis telah menerima arahan lanjut berhubung siasatan kes berkenaan dan kompaun akan dikeluarkan dalam masa terdekat.

“Pengesahan arahan (kompaun) telah diterima dan akan disampaikan kepada pejabat menteri besar (Kedah) dalam masa terdekat,” katanya hari ini.

Sanusi disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Peraturan 17(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021.

Sebelum ini, komuniti media sosial kecoh susulan penularan gambar dan video memaparkan individu dipercayai Sanusi memandu uji sebuah kereta, sedangkan ketika itu negara berada di bawah sekatan pergerakan penuh, dan pusat jualan kenderaan tidak dibenarkan beroperasi.

Bagaimanapun, Setiausaha Politik Menteri Besar Kedah, Afnan Hamimi Taib Azamudden menafikan Sanusi melakukan pandu uji kereta itu sebaliknya beliau berkata, menteri besar yang dalam perjalanan ke Kuala Lumpur atas urusan rasmi hanya singgah untuk melihat-lihat kereta di sebuah bilik pameran setelah berhenti membeli makanan di kedai berhampiran.

“Ada cerita fitnah baru mengenai Menteri Besar (MB). Kononnya MB langgar SOP PKP. Pergi test drive kereta Ford Ranger di Juru Auto City Penang. MB on the way ke Kuala Lumpur petang semalam ada hal mustahak. Ada seorang pemandu dan seorang anggota polis pengiring bersama MB. 3 orang semuanya.

“Pergerakan MB keluar daerah atau rentas negeri adalah dibenarkan di dalam SOP PKP kerana termasuk di dalam perkhidmatan perlu (essential service) yang dibenarkan pergerakan,” katanya Afnan.

BERITA BERKAIT
POPULAR