Palsu, KKM nafi arah tutup Bilik Gerakan PN

Notis tular dalam media sosial berhubung arahan penutupan Bilik Gerakan Perikatan Nasional (PN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas adalah palsu, kata Kementerian Kesihatan (KKM).

Perkara itu disahkan palsu oleh KKM menerusi satu kenyataan dalam hantaran di Facebook dan menafikan mengeluarkan kenyataan akhbar berhubung penutupan premis dan menjelaskan tidak pernah dikeluarkan pihak mereka.

Terdahulu, timbul laporan KKM mengeluarkan notis penutupan premis ke atas Bilik Gerakan PN DUN Telok Mas, berkuat kuasa hari ini hingga 26 Nov.

Ia termasuk dakwaan kompaun dikeluarkan ke atas PN kerana gagal menyediakan alat pengesan suhu di premis berkenaan.

Dalam pada itu, KKM juga menafikan kompaun RM10,000 dikenakan terhadap PN kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP).

Terdahulu, tular notis yang dikatakan dikeluarkan terhadap premis tersebut yang juga merupakan salah satu bilik gerakan untuk calon PN, Datuk Rafiq Naizamohideen.

Kawasan DUN Telok Mas menyaksikan pertandingan empat penjuru membabitkan Rafiq yang akan ditentang calon Pakatan Harapan (PH) yang juga Setiausaha Amanah Melaka Ashraf Mukhlis Minghat; Abdul Razak Abdul Rahman (Barisan Nasional) dan Muhammad Ariff Adly Mohammad (Bebas).

Rafiq sebelum ini menjadi Ahli DUN Paya Rumput menerusi majoriti 4,259 undi.

Pada pilihan raya umum Ke-14 lalu, kerusi DUN Telok Mas dimenangi Noor Effandi Ahmad (Bersatu) dengan majoriti 1,288 undi.

Pilihan raya negeri (PRN) Melaka akan berlangsung pada 20 Nov, manakala undi awal pada 16 Nov.

BERITA BERKAIT
POPULAR