
Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama seorang pembeli pada pelancaran Jualan Prihatin Rakyat Perikatan Nasional secara pandu lalu di Dataran Pagoh Jaya, hari ini.
Majlis Pemulihan Negara (MPN) mengambil maklum rungutan rakyat Malaysia berhubung peningkatan mendadak kebanyakan harga barangan keperluan sejak akhir-akhir ini.
Sehubungan itu, Pengerusi MPN Tan Sri Muhyiddin Yassin berharap Gerai Prihatin Rakyat diwujudkan segera di seluruh negara bagi membantu golongan miskin dan berpendapatan rendah.
“Saya mengambil maklum rungutan rakyat akhir-akhir ini ekoran peningkatan mendadak kebanyakan harga barangan pengguna terutama barangan makanan.
“Saya berpandangan kenaikan ini jika tidak dikawal sudah tentunya menjejaskan proses pemulihan negara yang sekarang ini sedang berjalan dengan baik,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu beliau melancarkan Jualan Prihatin Rakyat Perikatan Nasional (PN) secara pandu lalu di Dataran Pagoh Jaya yang menjual pelbagai barangan keperluan harian pada harga yang sangat berpatutan.
Menerusi program ini, orang ramai boleh mendapatkan set barangan makanan yang mengandungi beras 5 kilogram, seekor ayam segar, 30 biji telur ayam dan satu kilogram gula hanya pada harga RM20 sahaja.
“Alhamdulillah, Jualan Prihatin Rakyat mendapat sambutan hangat daripada penduduk di sini yang beratur panjang sejak awal pagi membeli barangan keperluan masing-masing.
“Sebanyak 5,000 pek disediakan untuk program di Pagoh yang secara tidak langsung dapat meringankan sedikit beban 5,000 keluarga di kawasan ini.
“Insya-Allah program yang sama akan dilaksanakan di beberapa kawasan lain di Johor dan seluruh negara dalam waktu terdekat. Program Jualan Prihatin Rakyat adalah manifestasi kesungguhan Kerajaan PN bagi membantu meringankan beban rakyat yang terkesan teruk akibat pandemik Covid-19,” katanya.

Ahli Parlimen Pagoh Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama pembeli yang hadir pada gerai Jualan Prihatin Rakyat Perikatan Nasional secara pandu lalu di Dataran Pagoh Jaya, hari ini.
Ahli Parlimen Pagoh itu berkata kesedaran ini lahir daripada keprihatinan mendalam parti PN yang turut terasa dengan kesan kenaikan harga barang di pasaran.
“Inisiatif ini juga selaras dengan cadangan Majlis Pemulihan Negara yang mahu Gerai Prihatin Rakyat diwujudkan di seluruh negara bagi membantu rakyat terutama golongan miskin dan berpendapatan rendah,” katanya yang sempat berbual dengan beberapa penduduk yang turut menzahirkan rasa syukur atas penganjuran program itu.
Pengguna berpendapat program ini sedikit sebanyak dapat membantu penduduk mendapatkan barangan keperluan pada harga yang sangat murah, malah mahu inisiatif ini diteruskan lebih-lebih lagi dalam keadaan harga barangan keperluan pengguna yang melambung.
Hadir sama pada program itu ialah kepimpinan tertinggi PN, termasuk Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Ronald Kiandee; Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah; dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun.
Turut hadir Timbalan Menteri Perpaduan, Wan Fayhsal Wan Ahmad Kamal dan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Mohd Rashid Hasnon serta Presiden Gerakan Dr Dominic Lau.