[KEMAS KINI] RM150 bilion pakej bantuan baharu kepada rakyat: PM

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengumumkan pakej bantuan kerajaan Perikatan Nasional (PN) bernilai RM150 bilion menerusi Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih).

Bantuan terbaharu ini adalah yang kedua terbesar selepas pakej Prihatin diumumkan Perdana Menteri pada Mac tahun lalu membabitkan RM250 bilion.

Pakej terbaru diumumkan berdasarkan keadaan kuncitara yang dijangka berlanjutan kerana kes harian Covid-19 masih tinggi dan merangkumi suntikan langsung fiskal kerajaan sebanyak RM10 bilion.

“Selaras dengan komitmen kerajaan untuk meneruskan agenda prihatin rakyat, sukacita saya mengumumkan bahawa sehingga hujung tahun ini, kerajaan akan menyalurkan Bantuan Tunai langsung kepada rakyat berjumlah RM10 bilion,” kata Perdana Menteri menerusi perutusan khas hari ini.

Beliau berkata, bantuan itu menumpukan kepada tiga fokus utama iaitu Meneruskan Agenda Prihatin Rakyat; Menyokong Perniagaan; dan Meningkatkan Vaksinasi.

“Sejak pandemik Covid-19 melanda negara, kerajaan telah melaksanakan tujuh program bantuan dan pakej rangsangan dengan nilai keseluruhan berjumlah RM380 bilion.

“Setakat ini, sebanyak lebih RM200 bilion telah disalurkan dan memberi manfaat kepada lebih 20 juta rakyat serta 2.4 juta perniagaan.

“Belanjawan 2021 pula bernilai 322.5 bilion ringgit dan masih berbaki 100 bilion ringgit untuk dibelanjakan sehingga hujung tahun ini,” katanya.

Perdana Menteri berkata bagi fokus meneruskan agenda prihatin rakyat, kerajaan akan menyalurkan bantuan tunai langsung kepada rakyat berjumlah RM10 bilion merangkumi Bantuan Prihatin Rakyat (BPR).

Katanya, ketika pengumuman PEMERKASA Plus, kerajaan bersetuju memberi bayaran tambahan bagi BPR sehingga RM500 pada bulan Julai dan bayarannya akan dibuat secara berperingkat mulai 29 Jun.

Manakala BPR fasa ketiga dengan kadar bantuan antara RM100 hingga RM1,400 akan dibayar pada September depan.

Beliau berkata, secara keseluruhannya, nilai BPR sehingga hujung tahun ini adalah RM4.9 bilion.

Sementara itu, bagi memastikan rakyat mendapat bantuan pada bulan-bulan mendatang sehingga akhir tahun 2021, kerajaan turut mengumumkan pemberian Bantuan Khas Covid-19 atau BKC dengan kadar dan kategori tertentu.

Perdana menteri berkata isi rumah kategori miskin tegar bakal menerima bantuan sebanyak RM500 pada Ogos, RM500 pada November, dan RM300 pada Disember manakala individu bujang kategori miskin tegar akan menerima bantuan sebanyak RM200 pada Ogos dan RM300 pada November.

Isi rumah B40 pula akan menerima bantuan sebanyak RM500 pada Ogos dan RM300 pada Disember manakala kategori bujang B40 akan menerima bantuan sebanyak RM200 ringgit pada bulan Ogos.

Bagi isi rumah kategori M40 pula, beliau berkata mereka turut menikmati bantuan sebanyak RM250, manakala bujang kategori M40 akan menerima RM100 pada Ogos.

“Secara keseluruhan, pemberian khas BKC ini dijangka memanfaatkan lebih 11 juta isi rumah dan individu warga emas serta bujang dengan peruntukan sebanyak RM4.6 bilion.” katanya.

Antara bantuan yang akan disalurkan termasuk:

  • Bantuan kewangan RM1,000 kepada semua pengusaha kantin sekolah berdaftar;
  • Bantuan one-off RM3,000 kepada pengusaha industri sukan dan operator arena sukan;
  • RM100 juta pembiayaan, sokongan bantuan kewangan bantu lebih lapan ribu penggiat seni, industri seni dan kreatif tempatan;
  • RM170 juta telah disalurkan melalui PenjanaKerjaya PERKESO yang manfaatkan 10,600 majikan dan 75,800 pekerja;
  • Kerajaan setuju PenjanaKerjaya dilanjut dengan penambahbaikan dan dijenama sebagai PenjanaKerjaya 3.0;
  • RM3.8 bilion laksana Program Subsidi Upah 4.0 bantu majikan kekalkan pekerja;
  • Lanjutan pemberian satu gigabit data harian secara percuma sehingga 31 Dis 2021 dengan anggaran nilai RM500 juta, manfaatkan 44 juta pelanggan;
  • Diskaun bil elektrik antara 5 hingga 40 peratus bagi tempoh tiga bulan mulai bil Julai ini;
  • Kerajaan laksana Harga Kawalan berasas nilai ambang Crude Palm Oil bagi tangani kenaikan harga minyak masak botol 1kg-5kg;
  • Kerajaan perluas sokongan psikososial melalui saluran seperti talian kasih serta peruntukan RM15 juta kepada NGO bantu tangani isu sosial;
  • Peruntukan RM125 juta melalui HRD Corp, laksana inisiatif ‘place and train’ di bawah program Janapreneur;
  • RM300,000 disalurkan kepada setiap Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang untuk Bantuan Bakul Makanan kepada golongan terjejas;
  • RM10 juta untuk laksana Bantuan Bakul Makanan khusus untuk masyarakat Orang Asli;
  • RM500 Bantuan Kehilangan Pendapatan disalur pada Oktober kepada pekerja yang hilang pendapatan;
  • Bantuan Khas Taska RM3,000 kepada pengusaha taska seliaan KPWKM serta tadika swasta di bawah KPM; dan
  • Elaun Pekerja Cacat RM500 seorang untuk tempoh tiga bulan, babit RM30 juta ringgit untuk 20 ribu orang OKU.

POPULAR