
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed. - Gambar Reuters
Malaysia tidak boleh terlalu bergantung kepada pakar luar dalam menguruskan ekonomi negara, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed.
Mustapa berkata pakar ekonomi tempatan yang dimiliki negara juga mempunyai keupayaan dan kemampuan untuk mencari pendekatan terbaik bagi memulihkan keadaan negara selain kerajaan juga ada mendapatkan khidmat pakar luar cuma ia tidak terlalu bergantung hanya semata-mata penasihat luar negara.
“Negara kita ada agensi antarabangsa seperti Bank Dunia dan Pejabat PBB, kita sentiasa berjumpa dengan mereka untuk meminta pandangan termasuklah dengan agensi kerajaan, syarikat swasta dan universiti,” katanya dipetik laporan media.
Antara pakar luar yang kerajaan mendapatkan nasihat adalah seperti Bank Dunia, United Nations Development Business (UNDB) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam usaha memberi buah fikiran membantu memantapkan ekonomi negara dan memastikan perancangan ekonomi berada di landasan yang terbaik.
Terdahulu, bekas Menteri Kewangan Tengku Razaleigh Hamzah yang mencadangkan supaya kerajaan melantik pakar ekonomi dari luar bagi mengekang kejatuhan ringgit yang berlaku sekiranya kerajaan sendiri tidak mampu berbuat demikian.
Menurut beliau barisan pakar ekonomi di dalam negara telahpun mencukupi, namun kerajaan tetap berusaha memantapkan lagi perancangan memandangkan tekanan ekonomi turut dirasai di peringkat global.
Mustapa berkata sehingga hari ini kerajaan sedang menaiki graf pertumbuhan ekonomi yang sihat meskipun dalam keadaan ekonomi yang sedang mencabar.
“Ada tanda-tanda bahawa ekonomi tahun ini tidak ada masalah daripada segi pertumbuhan. Dulu kadar pengangguran 5.3 peratus dan sekarang ini 3.7 peratus, jadi umumnya ekonomi kita semakin pulih tahun depan,
“Kita sedia maklum keadaan akan jadi mencabar, insya-Allah kita akan terus berinteraksi dan melakukan libat urus dengan semua pihak,” katanya.