Pak Lah satu-satunya bekas PM dikurnia tanah RM76.4 juta

Sebidang tanah bernilai RM76.4 juta dikurnia kepada bekas Perdana Menteri, Tun Ahmad Abdullah Badawi atau Pak Lah sebagai penghargaan atas jasanya kepada kerajaan.

Pengurniaan tanah tersebut disahkan Jabatan Perdana Menteri di Dewan Rakyat dan beliau adalah satu-satunya bekas PM yang diberikan tanah tersebut.

Dalam jawapan bertulis kepada Ahli Parlimen Labis, Pang Hok Liong (PH), Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) Datuk Seri Abdul Latiff Ahmad berkata, Jemaah Menteri pada 16 Jun 2009 telah meluluskan pemberian tanah di Persiaran Tuanku Ja’afar kepada Abdullah.

Abdullah memegang jawatan Perdana Menteri bermula 2003 hingga 2009.

Latiff berkata, tanah itu berkeluasan 155,290.94 kaki persegi.

Berdasarkan penilaian oleh Jabatan Penilaian dan Pengurusan Harta (JPPH), tanah itu berharga RM76.4 juta, manakala hartanah yang dibina di atasnya dinilai pada harga RM7.24 juta.

Sebelum ini, Dewan Rakyat diberitahu bahawa Putrajaya menerima permohonan daripada pengganti Abdullah, Datuk Seri Najib Razak untuk mendapatkan sebidang tanah dan rumah yang didakwa bernilai RM100 juta.

Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz mengesahkan permohonan itu dibuat pada 18 Nov tahun lalu susulan khabar angin yang tular di media sosial hingga menyebabkan kekecohan dalam Dewan Rakyat.

Ahli Parlimen pembangkang, termasuk Tun Dr Mahathir Mohamad mengkritik Najib.

“Wang yang dicuri diberikan semula,” kata Dr Mahathir selain menambah bahawa permohonan itu perlu dijelaskan.

Najib kemudiannya menarik balik permohonannya untuk mendapatkan tanah dan rumah itu dan berkata, beliau tidak mahu ia dijadikan isu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

BERITA BERKAIT
POPULAR