Pahang izin individu tak suntik vaksin solat di masjid, surau

Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) membenarkan individu belum disuntik vaksin Covid-19 untuk turut serta menunaikan solat Jumaat dan fardu mulai semalam, tetapi tertakluk kepada syarat ditetapkan.

Prosedur operasi standard (SOP) dengan jumlah jemaah terbuka itu dilaksanakan di semua masjid dan surau, kecuali di kawasan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), serta mengikut keluasan kapasiti masjid atau surau dengan mengamalkan penjarakan fizikal.

Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) dalam kenyataan hari ini berkata bagi masjid dan surau di kawasan PKPD, bilangan jemaah solat fardu ditetapkan hanya 12 individu, manakala untuk solat Jumaat seramai 40 orang, tidak termasuk pegawai dan ahli jawatankuasa masjid dengan keutamana diberikan kepada individu yang lengkap divaksin.

“Bagaimanapun, individu yang bergejala, di bawah Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) dan kontak rapat adalah tidak dibenarkan ke masjid atau surau.

“Jemputan kepada imam, khatib dan penceramah dari luar Pahang serta kanak-kanak yang belum baligh pula masih belum dibenarkan selain tiada aktiviti berkumpul sebelum dan selepas solat,” menurut kenyataan itu.

Bagi pengajian ilmu, JAIP memaklumkan hanya kuliah Subuh dan Maghrib dibenarkan pada masa ditetapkan selain pengurusan masjid perlu menyediakan ruang khas untuk golongan musafir dan memastikan masjid atau surau disanitasi sekerap yang boleh.

Bagi aspek pengurusan jenazah bukan pesakit Covid-19, JAIP memaklumkan ia dibenarkan terhad kepada lima orang sahaja manakala bilangan orang yang dibenarkan menziarah bergantung kepada kapasiti jemaah yang dibenarkan bagi solat fardu dan solat Jumaat.

“Bagi ziarah jenazah di rumah, ia berdasarkan kepada keluasan rumah dan tidak melebihi 20 orang dalam satu-satu masa, selain tempoh masa yang dibenarkan di semua tempat ialah 10 minit tanpa bersalaman atau bersentuhan.

“Jumlah maksimum bagi pengebumian ialah 50 orang. Aktiviti ziarah kubur dibenarkan bergantung kepada keluasan tanah perkuburan dan perlu diselesaikan dalam tempoh paling minimum,” menurut kenyataan itu.

JAIP memaklumkan perarakan mengusung jenazah tidak dibenarkan dengan jenazah perlu dibawa ke tanah perkuburan menggunakan kenderaan jenazah, selain tiada aktiviti berkumpul sebelum atau selepas ziarah atau pegebumian.

“Majlis tahlil di rumah dengan kehadiran jemputan luar dan semua bentuk jamuan juga tidak dibenarkan. Waris dari luar Pahang yang hadir perlu mematuhi SOP ditetapkan pihak berkuasa.

“Wakil keluarga, pentadbir masjid atau pengurusan tanah perkuburan serta pemimpin setempat adalah bertanggugjawab untuk memastikan pematuhan SOP dan tindakan boleh diambil jika berlaku kegagalan pematuhan SOP,” menurut kenyataan itu.

BERITA BERKAIT
POPULAR