Padah provokasi, aibkan polis ejen insurans ditangkap

Polis menahan seorang ejen insurans bagi membantu siasatan provokasi dan mengaibkan pegawai polis dengan mempertikaikan tindakan kompaun terhadapnya di sebuah stesen minyak di Bandar Sri Damansara, Petaling Jaya, dua hari lalu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata lelaki itu dikompaun atas kesalahan tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 iaitu tidak memakai pelitup muka ketika berada di stesen minyak, yang merupakan tempat awam.

Beliau berkata pihak polis mengesan satu klip video berdurasi 15 minit 42 saat yang memaparkan seorang lelaki tempatan enggan memberi kerjasama dan membuat provokasi terhadap anggota polis yang mengeluarkan kompaun kepadanya di stesen minyak itu.

“Lelaki tersebut juga telah mengeluarkan kata-kata kesat terhadap anggota polis yang bertugas dan mengeluarkan kenyataan yang boleh mendatangkan khianat awam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, satu laporan polis diterima pada jam 9.17 malam Selasa lalu berhubung penularan rakaman video berkenaan.

Mohamad Fakhrudin berkata bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya menangkap seorang lelaki tempatan berusia 29 tahun di sebuah apartment di Bandar Sri Damansara untuk siasatan lanjut.

“Semasa proses tangkapan, suspek telah membuat satu rakaman video secara langsung di laman media sosial Facebook,” katanya.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana enggan memberikan kerjasama kepada pihak polis ketika menjalankan tugas, Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mengaibkan anggota polis dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan.

Lelaki terbabit juga disiasat mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan kerana telah mengeluarkan kenyataan yang mendatangkan khianat awam, serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia kerana telah menularkan rakaman tersebut di laman media sosial, selain Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil kerana berkelakuan tidak sopan di tempat awam.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa memberi kerjasama sepenuhnya kepada polis yang menjalankan tugas di lapangan dan harus mematuhi SOP Covid-19 selain tidak membuat spekulasi berhubung video yang tular itu kerana boleh mengundang pelbagai isu yang boleh menggugat ketenteraman awam.

POPULAR