PAC siasat kelewatan projek 3 kapal OPV, kontrak diberi sejak zaman BN

September 26, 2022 · Isu semasa

Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) bersetuju untuk memulakan prosiding berhubung isu membabitkan tiga kapal peronda luar pesisir (OPV) yang masih belum diserahkan kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Pengerusi PAC Wong Kah Woh berkata APMM dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) perlu menjelaskan kepada Parlimen, melalui PAC, sebab-sebab kelewatan itu.

“PAC bersetuju secara konsensus untuk memulakan prosiding berhubung isu pengambilalihan OPV APMM yang terletak di bawah KDN.

“Dalam mesyuarat PAC pada Isnin (26 September), telah diputuskan APMM dan KDN mesti menjelaskan kepada Parlimen mengapa kelewatan ini berlaku.

“PAC juga akan memanggil Kementerian Kewangan dan syarikat yang diberi kontrak untuk membina OPV ini,” kata Wong dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata PAC akan mengadakan prosiding itu selaras dengan kuasanya di bawah Perintah Tetap Dewan Rakyat 77(1).

Katanya, PAC juga akan menggunakan kuasanya di bawah Peraturan Mesyuarat 83(2) dan Perkara 11(b) Pekeliling Am Bilangan 2 Tahun 1982.

“Tarikh prosiding akan diputuskan kemudian,” kata Wong.

APMM dijadual menerima sekurang-kurangnya satu OPV bulan ini, ini selepas kerajaan sebelum ini memberi lanjutan 18 bulan kepada TH Heavy Engineering (THHE) untuk menyiapkan ketiga-tiga kapal itu.

Pada Jun lalu, dilaporkan bahawa KDN telah memberi jaminan kepada APMM bahawa sekurang-kurangnya satu daripada kapal itu akan dihantar tahun ini.

Laporan itu menyatakan bahawa THHE menghadapi kerugian sehingga RM628.9 juta dan hutang berjumlah RM165 juta, manakala hanya mempunyai aliran tunai RM27.5 juta untuk menyiapkan kapal tersebut.

Ini telah menimbulkan persoalan sama ada ia akan dapat menyiapkan tiga kapal seperti yang dijanjikan.

Kontrak pembinaan tiga OPV untuk Maritim Malaysia dianugerahkan kepada syarikat tempatan, THHE Destini, pada 2017, ketika kerajaan Barisan Nasional (BN) memerintah.

Perdana Menteri ketika itu ialah Datuk Seri Najib Razak, manakala Menteri Dalam Negeri adalah Presiden UMNO sekarang Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Parit Buntar Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa mendakwa sebuah syarikat di mana THHE mempunyai usaha sama bagi memenuhi keperluan kontrak – Destini Sdn Bhd – dikaitkan dengan Barisan Nasional (BN). Destini telah meninggalkan projek OPV pada 2021, menyebabkan THHE terpaksa membeli semula 51 peratus saham daripada mereka.

Media sebelum ini melaporkan syarikat induknya, TH Heavy Engineering Bhd yang diklasifikasikan sebagai PN17, kini menanggung kerugian terkumpul RM629.8 juta dan hutang bernilai RM165 juta sehingga menimbulkan persoalan mengenai kemampuan syarikat itu untuk menyiapkan OPV terbabit sebagaimana dijanjikan.

Kapal berkenaan yang direka bentuk mengikut rekaan Damen 1800, berkeupayaan melaksanakan operasi laut dalam hingga tempoh maksimum 21 hari tanpa perlu kembali ke pangkalan bagi menambah bekalan.

OPV berukuran 83 meter panjang dengan 13.7 meter lebar itu berkemampuan melakukan pengawasan jarak jauh hingga kawasan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) dan kawasan di luar jangkauan kapal peronda kecil.

Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Datuk Mohd Zubil Mat Som, pada sidang media baru-baru ini berkata pandemik Covid-19 dikatakan menjadi punca kelewatan penyerahan tiga OPV yang sepatutnya diterima pada tahun lalu. Bagaimanapun, OPV terbabit sebaliknya masih dalam pembinaan di Pulau Indah, Selangor.

Sebelum ini, media mendedahkan timbul tanda tanya mengenai status tiga kapal OPV Maritim Malaysia yang masih belum diterima sehingga mengundang kritikan ramai pihak.

Berita berkaitan
Polis rekod keterangan Kit Siang dengan 27 soalan isu PM bukan Melayu: Peguam
December 13, 2023· Politik
Identiti ‘Mr H’ rahsia dan tidak akan didedah, kata KPN
November 30, 2023· Politik
PAC akan mula prosiding berhubung Pengurusan Dana HRD Corp pada Isnin
October 19, 2023· Isu semasa
Selepas pendedahan PAC, MINDEF nafi AGC tak dilibatkan dalam perjanjian LCS
October 10, 2023· Isu semasa
Popular
Ketahui hak harta sepencarian selepas bercerai
January 12, 2022
Bekas Setpol Salahuddin Ayub dilantik Pengerusi SSM baharu
March 13, 2023
Aktivis disiasat polis selepas pertikai PMX Islamkan pemuda India
August 22, 2023
Hina Islam: Penghantar makanan masuk penjara, gagal bayar denda RM50,000
July 21, 2022
Lagi Isu semasa terkini
Polis sedang kesan individu hina Sultan Selangor, dipercayai berada luar negara
March 27, 2024 · Isu semasa
Saman fitnah: Rayuan Jamal ditolak, perlu bayar RM300 ribu kepada Kok
March 27, 2024 · Isu semasa
Kata masuk pelaburan berbilion, Rafidah terkejut kilang tayar tutup
March 7, 2024 · Isu semasa
Laman akaun Facebook tak boleh diakses jutaan pengguna
March 5, 2024 · Isu semasa
Ahli Parlimen blok kerajaan juga tak setuju cukai SST dinaikkan
March 5, 2024 · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Mahathir dakwa SPRM ugut Mirzan untuk dakwa dirinya
January 22, 2024
[VIDEO] Siasat saya senang, yang susah siasat PM sebab ada kuasa, kata Mahathir
January 22, 2024

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok