
Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin.
Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) masih belum menerima nama wakil kerajaan dan pembangkang yang akan menganggotai jawatankuasa itu.
Pengerusinya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata PAC kini hanya dianggotai olehnya dan Ahli Parlimen Kluang, Wong Shu Qi daripada Pakatan Harapan (PH) sebagai naib pengerusi yang dilantik 4 April lalu.
“Kami menunggu senarai nama anggota yang dicadangkan kerajaan dan pembangkang. Selepas itu, baru boleh kita mulakan gerak kerja seterusnya,” katanya lapor BH.
Katanya mesyuarat pertama PAC dijangka diadakan selepas pembukaan persidangan Dewan Rakyat bagi mesyuarat kedua penggal kedua, Mei ini.
PAC ialah Jawatankuasa Parlimen yang dibentuk untuk meneliti laporan daripada ketua audit negara dan meneliti kewangan kerajaan serta wang yang diperuntukkan oleh Parlimen untuk perbelanjaan awam.
Ia dianggotai 12 ahli iaitu lapan wakil kerajaan dan empat pembangkang. Jawatankuasa itu mempunyai kuasa untuk memanggil menteri, orang awam, penjawat awam dan pegawai lain ke jawatankuasa itu untuk disoal siasat selain membuat susulan terhadap penemuan audit awam.
Menurut laporan itu Mas Ermieyati berkata beliau akan menumpukan isu berprofil tinggi yang ada kepentingan rakyat serta memerlukan tindakan segera.