
Kapal tempur pesisir pantai (LCS) yang masih dalam pembinaan di limbungan Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd di Lumut, Perak.
Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan melawat lokasi pembinaan kapal peronda generasi kedua kapal tempur pesisir (LCS) milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Pangkalan TLDM, Lumut, Perak, esok.
Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata ini bagi memulakan prosiding bagi perkembangan kemajuan pembinaan kapal kontroversi itu.
“Mengambil syor daripada PAC penggal ke-14 yang mahu Kementerian Pertahanan membentangkan perkembangan terkini kepada PAC setiap tiga bulan, PAC Parlimen Penggal ke-15 juga akan membentangkan laporan kemajuan LCS ini setiap tiga bulan, di Dewan Rakyat.
“Bagi laporan kali ini, ia akan menyentuh kemajuan pembinaan yang dicapai dari Oktober 2022 sehingga Mei 2023,” katanya pada sidang media di lobi Bangunan Parlimen hari ini, lapor Bernama.
Sebelum ini, pembinaan kapal LCS terpalit kontroversi apabila PAC mendedahkan tiada seunit pun berjaya disiapkan walaupun kerajaan telah membelanjakan RM6.083 bilion kepada Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS).
Kontrak projek itu diberikan kerajaan kepada BNS untuk membina lima LCS namun PAC sebelum ini mendapati kajian daya maju kerajaan terhadap syarikat itu gagal mengesan masalah kewangan syarikat terbabit.
Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata kerajaan tidak mempunyai pilihan selain mengambil alih BNS supaya projek berkenaan dapat diselesaikan.
Katanya, ia berikutan kerajaan telah membelanjakan RM6 bilion bagi projek LCS namun sehingga hari ini belum ada satu kapal yang berjaya disiapkan untuk digunakan pihak keselamatan negara.