
Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara akan menyediakan laporan kedua berhubung projek perolehan enam kapal tempur pesisir pantai Tentera Laut Diraja Malaysia kira-kira dua bulan lagi.
Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) – badan dwipartisan Parlimen – akan mengeluarkan satu lagi laporan berhubung projek perolehan enam kapal tempur pesisir pantai (LCS) kira-kira dua bulan lagi.
Pengerusi PAC Wong Kah Woh berkata laporan itu akan dibuat setelah PAC memanggil Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pertahanan berhubung isu projek pembinaan kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) itu.
Menurutnya jawatankuasa itu akan mendapatkan maklum balas lanjut Kementerian Pertahanan mengenai beberapa syor yang sudah dibentangkan PAC berkaitan isu LCS di Dewan Rakyat, pada 4 Ogos lalu.
“Secara prosedurnya, KSU diberikan masa sebulan untuk menghantar satu laporan tindakan susulan interim terlebih dahulu kepada PAC.
“Dalam tempoh genap dua bulan iaitu pada Oktober, kami akan menetapkan satu tarikh untuk memanggil KSU tampil ke PAC untuk memberikan pembentangan semula kepada PAC mengenai maklum balas dan tindakan lanjut,
“PAC akan membuat satu laporan mengenai tindakan susulan selepas pembentangan daripada KSU. Selepas pembentangan semula itu, PAC akan berikan ulasan selanjutnya mengenai laporan kita,” katanya menurut BH.
Wong berkata pembentangan semula itu adalah prosedur biasa, bukan hanya terhad kepada projek LCS, tetapi untuk mana-mana kes yang disiasat dan dibentang laporan oleh PAC.
Sebelum ini, Wong yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timor berkata ‘kisah ngeri’ projek kapal pasti melibatkan lebih daripada salah urus dan ada perkara yang amat tidak kena dengan mereka yang memegang kuasa serta yang menerima kontrak itu.
Untuk rekod, pemberian kontrak pembekalan enam kapal LCS itu diberikan ketika Barisan Nasional (BN)/UMNO memerintah iaitu bermula dengan surat anugerah pada 2011 disusuli penyerahan kontrak kepada Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) pada 2014.
Ketika itu, Datuk Seri Najib Razak menjadi Perdana Menteri, manakala Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai Menteri Pertahanan mulai 2009 hingga 2013, sebelum digantikan Datuk Seri Hishammuddin Hussin.
Sementara itu, Wong berkata pemadaman nama pemegang saham dan pengarah syarikat terbabit dalam projek LCS untuk proses nyahklasifikasikan sepatutnya tidak perlu dibuat oleh kerajaan.
“Sememangnya kita nampak sekurang-kurangnya ada satu syor yang penting yang sudah dilaksanakan oleh pihak kerajaan iaitu syor nyahklasifikasi atau nyahrahsia laporan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK).
“Kita mahu keseluruhan laporan itu dinyahklasifikasikan tanpa sebarang pemadaman mana-mana bahagian pun.
“Bagi saya, maklumat berhubung siapa pemegang saham dan pengarah dalam syarikat, kesemua ini adalah maklumat terbuka yang boleh diperoleh oleh sesiapa sahaja dari Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM),” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, Laporan JKSTUPKK berhubung projek pembinaan LCS bagi perolehan TLDM sudah dinyahklasifikasikan.
Bagaimanapun, beberapa perenggan dalam laporan JKSTUPKK berkaitan enam kapal LCS itu telah dipadam.
Pemadaman perenggan 2.39.1; 2.39.2; dan 2.39.4 dalam Jadual 9; 10; 11; dan 10 laporan JKSTUPKK dibuat setelah mendapat nasihat Jabatan Peguam Negara.