
Berdasarkan laporan sebelum ini, sebuah LCS Gowind Frigate hampir disiapkan dan diberi nama KD Maharaja Lela menggunakan nombor pendaftaran badan 2501. - Gambar media sosial
Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) akan membentangkan laporannya mengenai perolehan Kapal Tempur Pesisir Pantai (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di bawah Kementerian Pertahanan di Dewan Rakyat esok.
Pengerusi PAC Wong Kah Woh berkata laporan setebal 250 muka surat – tidak termasuk prosiding Hansard dan dokumen perbahasan – akan memasukkan beberapa pindaan kepada cara ia ditulis untuk memudahkan rakyat Malaysia memahaminya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Parlimen hari ini selepas Ketua Audit Negara Datuk Seri Nik Azman Nik Majid membentangkan Laporan Ketua Audit Negara 2021 (Siri 1) Mengenai Aktiviti Kerajaan Persekutuan, Kementerian dan Jabatannya serta Syarikat Kerajaan Persekutuan di Dewan Rakyat awal hari ini.
“Ketua Audit Negara, Datuk Seri Nik Azman Nik Majid hari ini memberi taklimat kepada PAC mengenai Laporan Ketua Audit Negara 2021 (Siri Satu) yang dibentangkan di Dewan Rakyat.
“Taklimat itu berdasarkan Peraturan Mesyuarat 77(1)(c) dan Peraturan Mesyuarat 83(2) Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat,” katanya.
Isu berkaitan LCS semakin menarik apabila pada Januari lalu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilaporkan menahan dua ketua pegawai eksekutif (CEO) sebuah syarikat susulan penemuan petunjuk baharu dalam siasatan ke atas kontrak perolehan enam LCS oleh Bousted Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS).
Laporan yang disahkan Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki itu menyatakan individu yang masing-masing berusia 49 dan 79 tahun adalah CEO syarikat yang terlibat dalam projek tersebut dan ditahan ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya pada 24 Januari.
Kedua-dua individu terbabit disyaki melakukan penyelewengan dan menerima rasuah menerusi pembayaran yang dibuat kepada tiga syarikat di luar negara.
Salah seorang daripada mereka juga disyaki menerima rasuah daripada subkontraktor yang dilantik bagi mengendalikan projek tersebut, menurut sumber yang mengetahui perkara itu.
Sumber itu berkata siasatan kes tersebut tertumpu kepada kesalahan mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009 kerana menerima rasuah dan Seksyen 409 Kanun Keseksaan kerana pecah amanah.
Pada 21 November lalu, Presiden Persatuan Veteran Tentera Laut Diraja Malaysia (PVTLDM), Laksamana Pertama (B) Mohamad Imran Abd Hamid, membuat laporan kepada SPRM berhubung projek pembinaan enam kapal LCS yang gagal diserahkan mengikut jadual.
Projek bernilai RM9.128 bilion itu dianugerahkan kepada BNS oleh kerajaan melalui Kementerian Pertahanan dengan RM6 bilion sudah dibayar bagi tujuan pembinaan keenam-enam kapal tersebut secara serentak.
Untuk rekod, enam LCS kelas Frigat akan dilengkapi peralatan dan sistem untuk peperangan empat dimensi antaranya sistem Surface to Air Missile (SAM), Surface to Surface Missile (SSM), Medium Caliber Gun (MCG), Small Caliber Gun (SCG), Towed Array Sonar (TAS), Torpedo dan juga Decoy Launching System (DLS) yang canggih.
Selain itu, LCS yang diperolehi ini mempunyai reka bentuk stealth yang moden dan bakal memenuhi keupayaan pertahanan abad ke-21. Perolehan ini akan turut mengukuhkan TLDM sebagai sebuah angkatan laut yang kredibel di rantau Asia Tenggara dan antarabangsa.