Orang ramai membeli-belah saat akhir, pasar raya penuh

Tidak menyangka tarikh Hari Raya Aidilfitri jatuh pada esok (2 Mei), orang ramai semalam berpusu-pusu membuat persiapan akhir bagi menyambut Syawal apatah lagi selepas dua tahun tidak meraikannya secara meriah.

Di ibu kota, trafik di sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman, Dataran Merdeka dan Chow Kit yang menjadi tumpuan untuk membeli kelengkapan Aidilfitri mengalami kesesakan apabila orang ramai menyerbu kedai jualan di kawasan itu.

Seorang pekerja swasta Ghazali Ahmad Zukri, 47, terkejut apabila Hari Raya jatuh pada Isnin apabila dia dan keluarganya masih belum berkesempatan membeli barangan bagi persiapan raya.

Katanya, perancangan untuk bergerak pulang ke kampung halaman iaitu di Bukit Piatu, Melaka selepas berbuka puasa terpaksa ditangguhkan bagi membeli pakaian raya.

“Apabila diumumkan sahaja, saya terus minta keluarga bersiap untuk beli barang raya dan bertolak pulang ke kampung selepas Subuh esok,” katanya ketika ditemui Bernama di sini, malam ini.

Di NEGERI SEMBILAN, suri rumah Siti Zaleha Timbang, 56, berkata sejurus mendengar pengumuman Hari Raya, dia terus meminta anaknya ke pasar raya untuk membeli bahan masakan rendang bagi hidangan perayaan esok.

Katanya daging lembu dan ayam telah tersedia, namun terdapat beberapa bahan yang belum dibeli seperti santan.

“Terkejut juga dengan pengumuman Hari Raya tadi, saya jangkakan Aidilfitri pada Selasa, nasib baik bahan-bahan seperti daging lembu dan ayam telah beli awal,” katanya.

Di JOHOR, orang ramai membanjiri pasar raya untuk membeli barangan pada saat-saat akhir dengan ada yang dilihat beratur panjang untuk menunggu membuat pembayaran.

Bagi Raja Rosilah Raja Mahmood, 35, pada mulanya dia mengingatkan pengumuman Hari Raya yang jatuh esok sebagai berita palsu.

“Saya ingat prank (penipuan), memang terkejut…terus saya dan suami pergi pasar raya beli barang, mujur sempat juga beli barang kelengkapan yang lain beberapa hari lepas,” katanya.

Di TERENGGANU, kedai gunting rambut antara yang menjadi tumpuan malam ini bagi persiapan akhir sebelum Aidilfitri esok.

Pemilik kedai gunting FRZ Barbershop, Saiful Md Dahan, 25, berkata sebaik sahaja pengumuman rasmi Hari Raya, kedainya diserbu orang ramai yang sedikit kelam kabut ingin mendapatkan perkhidmatan menggunting rambut.

“Malam ini sahaja sudah ada 60 pelanggan datang ke kedai. Saya terima juga kehadiran pelanggan walaupun persiapan raya saya sendiri belum disiapkan lagi kerana simpati dengan pelanggan,” katanya.

Saiful berkata beliau dan seorang lagi pekerja akan membuka kedai guntingnya yang terletak di Kampung Tebauk Kuala Nerus sehingga 4 pagi bagi menampung jumlah permintaan yang sangat tinggi.

Di SELANGOR, tinjauan sekitar bandar raya Shah Alam mendapati terdapat beberapa barangan keperluan dan makanan untuk hari raya sudah habis dijual.

Penjawat awam, Mohd Muizzuddin Abdullah, 30, berkata beliau telah mengunjungi lebih lima kedai runcit dan serba guna sekitar Setia Alam bagi mencari ais bagi persiapan raya, namun sudah kehabisan.

Sementara itu, aliran trafik di beberapa lebuh raya dan jalan utama menuju ke utara dan pantai timur bergerak perlahan berikutan orang ramai pulang ke kampung untuk menyambut Aidilfitri esok.

Lembaga Lebuhraya Malaysia menerusi laman Twitternya memaklumkan aliran trafik sesak di laluan Lentang menuju ke Bentong, Pahang dan Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) menghala Plaza Tol Gombak setakat 10.50 malam tadi.

Sementara itu, menurut laman rasmi Twitter PLUSTrafik, aliran trafik dilapor perlahan di dua kilometer arah utara dari Bandar Cassia ke Bukit Tambun, Pulau Pinang setakat 9.50 malam.

BERITA BERKAIT
POPULAR