Orang ramai kena berwaspada, fasa endemik perlukan disiplin: Muhyiddin

Walaupun negara akan masuk ke fasa endemik Covid-19 tidak dalam lama lagi, namun orang ramai digesa sentiasa berwaspada dan mengamalkan disiplin yang tinggi, kata mantan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin yang juga Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) berkata kelonggaran yang diberikan tidak bermakna orang ramai boleh terus leka dan mengabaikan langkah pencegahan yang sudah digariskan ia memandangkan Covid-19 sudah berada dalam komuniti ketika ini.

“Mungkin ada antara kita yang keluar beriadah dan makan di restoran memandangkan semakin banyak sektor ekonomi dan sosial yang sudah dibuka, terutamanya kepada mereka yang telah menerima suntikan lengkap vaksin Covid-19.

“Suka saya ingatkan, kita masih perlu sentiasa mengambil langkah berwaspada memandangkan virus Covid-19 ini telah pun berada di dalam komuniti.

“Transisi dari tahap pandemik ke endemik bukan sahaja harus dilakukan dengan yakin dan berani tetapi juga perlu teratur dan penuh sistematik,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Menurut Muhyiddin, orang ramai perlu belajar daripada pengalaman dan menjadikan iktibar dari negara luar yang bersikap sambil lewa dengan kelonggaran diberikan sehingga mengakibatkan peningkatan kes Covid-19 meningkat semula.

“Setiap daripada kita harus mengambil langkah yang proaktif dalam melakukan penilaian risiko kendiri dan saya yakin kerajaan juga akan mengambil langkah yang perlu dalam memantau dan mengawal risiko penularan virus ini di sektor-sektor yang dilonggarkan.

“Ingat, semakin ramai yang menerima vaksinasi lengkap, semakin ramai yang terlindung daripada dijangkiti dengan teruk oleh virus Covid-19.

“Dengan itu, beban kepada sistem kesihatan awam juga akan berkurang,” katanya lagi.

Beliau turut menyeru semua rakyat menyokong usaha untuk kembali ke kehidupan norma baharu dengan yakin dan berani sebagai sebuah Keluarga Malaysia.

Katanya, usaha dan perancangan cekap kerajaan sejak Mei lalu mula menampakkan hasil memberangsangkan dengan peningkatan kadar vaksinasi secara agresif, penurunan kes positif Covid-19, selain komitmen mempertingkatkan kapasiti sistem kesihatan awam.

“Sehingga 2 Oktober 2021, sebanyak 87.2 peratus populasi dewasa di Malaysia telah menerima suntikan dos lengkap, lebih awal daripada jangkaan kita sebelum ini.

“Tahniah diucapkan kepada semua yang terbabit menjayakan Pelan Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) ini,” katanya.

Beliau turut berkongsi kejayaan Pelan Pemulihan Negara (PPN) dengan kesemua negeri sudah beralih daripada Fasa 1 PPN dengan majoritinya berada di Fasa 2 dan 3, manakala, Wilayah Persekutuan Labuan serta Negeri Sembilan kini di Fasa 4.

BERITA BERKAIT
POPULAR