
Minyak masak paket yang diberi subsidi oleh kerajaan dipercayai diseludup ke negara lain. - Gambar hiasan
Pengguna di Kuantan mengadu kehabisan minyak masak paket bersubsidi didapati kehabisan di beberapa pasar raya dan kekurangan bekalan telor.
Menurut laporan media, orang ramai di Kuantan mengeluh apabila terpaksa membeli stok minyak masak botol bagi dua dan lima kilogram yang masih ada di pasaran dan juga bekalan telor yang kekurangan.
Laporan BH yang meninjau beberapa pasar rasa di Kuantan melaporkan minyak masak paket yang dihadkan penjualannya kepada tiga paket bagi setiap pelanggan habis sejak awal pagi.
Keadaan itu membimbangkan orang ramai khasnya golongan berpendapatan rendah yang mahu kerajaan mengatasi masalah kekurangan bekalan itu dengan segera.
Suri rumah, Jamaliah Kamaruddin, 56, berkata pihak berkuasa terutama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) perlu segera bertindak bagi memastikan pengguna mudah mendapatkan barang keperluan harian.
“Bukan semua mampu membeli minyak masak dalam botol terutama golongan kurang berkemampuan kerana harganya tinggi.
“Jadi, masalah kekurangan stok minyak masak bersubsidi perlu diselesaikan segera,” katanya dilaporkan BH.
Sementara itu, tinjauan bekalan telur ayam juga berlaku kekurangan terutama membabitkan 30 biji sepapan.
Bagaimanapun, telur ayam 10 biji jenis omega dan premium masih ada di pasaran tetapi harganya lebih mahal, menyebabkan ia kurang mendapat sambutan.
Peniaga nasi lemak, Junaidi Kamaruzzaman, 45, berkata kesukaran mendapatkan bekalan telur memberikan kesan kepadanya kerana telur ayam adalah antara bahan asas dalam menu nasi lemak.
Katanya, disebabkan itu, dia terpaksa mendapatkan bekalan telur ayam di beberapa pasar raya atau kedai runcit jauh dari rumah.
“Saya harap kerajaan segera memulihkan kembali bekalan telur ayam kerana kesukaran mendapatkannya menyebabkan kami terpaksa mencarinya di merata tempat,” katanya.