
Semua bentuk bailout yang melibatkan suntikan dana awam untuk menyelamatkan syarikat korporat adalah buruk dan wajar ditolak.
Bekas Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli membidas Datuk Seri Najib Razak yang sesuka hati mengutarakan pendirian tidak konsisten berhubung syor supaya kerajaan menyuntik dana membantu Sapura Energy Berhad (SEB) yang berdepan masalah kewangan.
Menggunakan perumpamaan ‘orang lain mencuri tidak boleh, dia mencuri boleh pula’, Rafizi berkata beliau konsisten dengan pendirian menentang cadangan itu tidak kira pihak mana yang mengutarakannya.
“Bukannya seperti Najib yang autanya mengikut rasa pengendali laman sosial FBnya. Sedang dia mengkritik tindakan Pakatan Harapan (PH)bailout SEB pada 2018, kini dia pula perasan cerdik dan berlakon prihatin apabila menggesa perkara yang sama pada 2022.
“Selepas saya membantah gesaan Najib supaya Kerajaan Persekutuan menggunakan wang rakyat, untuk menyelamatkan SEB, jawapan yang biasa dimainkan Najib ialah dengan menuding jari terhadap pentadbiran PH di bawah Tun Dr Mahathir Mohamad,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sambil menyatakan pendiriannya bahawa semua ‘bailout’ adalah salah, Rafizi berkata beliau juga menentang langkah kerajaan Dr Mahathir menyuntik RM4 bilion untuk memperbaiki aliran tunai Sapura dengan melanggan terbitran saham baharu syarikat itu.
“Pandangan saya ialah semua bentuk bailout yang melibatkan suntikan dana awam untuk menyelamatkan syarikat korporat adalah buruk dan wajar ditolak.
“Prinsip ini terpakai kepada semua syarikat korporat, tidak kiralah milik kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan, syarikat awam yang sahamnya dimiliki dana awam, apatah lagi syarikat korporat biasa,” katanya.
Antara sebab keburukan pendekatan bailout ini kata Rafizi ialah ianya menggalakkan usahawan korporat untuk mencari jalan singkat mengaut keuntungan dengan mendadak tanpa mengambil kira langkah membina syarikat yang berdaya saing dan kental menghadapi cabaran naik turun perniagaan.
Menurutnya beliau memberi tumpuan kepada isu Sapura dan gesaan Najib itu kerana yakin rakyat Malaysia perlu menghentikan segera amalan bailout ini yang telah berlaku sekian lama di Malaysia.
“Jika perniagaan yang dimiliki rakyat biasa menghadapi kesukaran, tidak ada sebarang bentuk kelonggaran atau bantuan yang akan diberikan. Malah, usahawan biasa terpaksa mengambil wang sendiri membayar cukai atau denda yang dikenakan.
“Jika perniagaan itu milik individu bernama besar yang rapat dengan golongan bangsawan masyarakat (selalunya pemimpin politik besar), perniagaan itu boleh mendapat bantuan pihak berkuasa, sama ada dalam bentuk geran, suntikan dana, pinjaman mudah atau kelonggaran. Kroni-kroni ini tidak pula perlu menjual harta peribadi mereka untuk disuntik ke dalam perniagaan yang bermasalah.
“Perkara ini berlaku dalam setiap dekad di bawah semua Perdana Menteri dan Menteri Kewangan yang pernah ada. Ia perlu dihentikan segera,” katanya sambil mencadangkan akta baharu digubal bagi menghalang langkah bailout itu.
Artikel penuh di ruang RENCANA