
Ringgit.
Baru-baru ini, Jawatankuasa Dasar Monetari Bank Negara Malaysia memutuskan untuk menaikkan kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 2.5 peratus.
Untuk rekod, ia merupakan kenaikan kali ketiga berturut-turut pada tahun ini yang mana pada bulan Julai, kadar penanda aras pinjaman dan simpanan itu dinaikkan kepada 2.25 peratus, 2.00 peratus pada Mei dan 1.17 pada Mac.
Justeru, episod kenaikan harga barang dijangka akan berlaku sekali lagi dalam masa terdekat selain memberi kesan khusus buat mereka yang membuat pinjaman atau pembiayaan baharu semasa kadar rendah sebelum ini.
Menurut Penganalisis ekonomi Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Business School, Prof Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid, walaupun jumlah pinjaman itu kecil kerana jumlah pendapatan golongan M40 dan B40 yang rendah, namun ia tetap memberi kesan kerana kuasa beli mereka berkurangan kerana perlu menambah peruntukkan bagi membayar tambahan pinjaman bank.
Katanya, ini memandangkan golongan itu turut terkesan dengan peningkatan kos sara hidup berikutan kenaikan hampir semua harga barang dan perkhidmatan.
“Namun, kebanyakan golongan B40, tidak ramai yang membuat pinjaman kerana nilai kredibiliti kredit mereka yang rendah, jadi bank memahami mereka mempunyai risiko lebih tinggi dan biasanya institusi kewangan memberikan pinjaman yang mempunyai faedah tetap.
“Oleh itu, jenis pinjaman kepada B40 adalah lebih kepada pinjaman peribadi dan pinjaman kenderaan yang diberi pada kadar tetap bagi menangani risiko yang tinggi,” katanya.
Menurutnya, kenaikan OPR ini lebih membebankan golongan M40 sebenarnya yang kebanyakan mengambil pinjaman perumahan yang memakai kadar faedah diapungkan.
Beliau berkata, disebabkan harga rumah yang mahal dan terus naik dengan lebih cepat berbanding dengan kenaikan gaji, maka golongan M40 lebih terkesan dengan kenaikan OPR.
“Selain itu, BNM boleh memainkan peranan dengan menggalakkan perbankan untuk mengatur semula kontrak pinjaman sekiranya OPR terus dinaikkan selepas ini kerana ia dapat membantu peminjaman untuk menangani kemelesetan ekonomi.
“Dengan kenaikan OPR yang berterusan pada masa ini, 2.25 peratus ke tahap lebih tinggi tahun hadapan pasti mengurangkan keinginan pembeli untuk membeli rumah ini kerana kos yang lebih tinggi juga bakal memperlahankan pertumbuhan industri perumahan dan pembinaan negara dalam waktu terdekat,” katanya.
Dalam pada itu, perunding kewangan, Dr. Adam Zubir berkata, implikasi kenaikan OPR hanya melibatkan mereka yang mempunyai pembiayaan dengan kadar yang berubah-ubah.
“Jika pinjaman individu tersebut adalah tetap, maka dia tidak perlu risau. Namun, kebanyakan daripada kita yang mempunyai pinjaman rumah, pinjaman Amanah Saham Bumiputera dan kad kredit sememangnya akan terkesan.
“Ia akan menyebabkan komitmen bulanan dinaikkan dan kelayakan pinjaman bank juga akan diperketatkan disebabkan lebihan pendapatan semakin berkurang,” katanya.
Selain itu, Adam menjelaskan bahawa kuasa membeli yang dimiliki oleh seseorang individu itu juga menjadi semakin mengecil.
“Sebagai contoh, jika anda mempunyai gaji sebanyak RM3,000 dan hutang pinjaman pula RM1,500. Kuasa membeli adalah separuh daripada pendapatan.
“Namun, apabila OPR naik, mungkin hutang pinjaman menjadi RM1,600, maka kuasa membeli menurun kepada hanya RM1,400,” ujarnya.
Sehubungan itu, katanya, orang ramai dinasihatkan untuk mengawal perbelanjaan dan mengurus kewangan bagi menghadapi kos sara hidup yang tinggi ketika ini yang disifatkan sementara sebelum keadaan ekonomi kembali stabil.
Berbelanja apa yang perlu sahaja sementara menanti keadaan ekonomi kembali stabil.