Operasi cari 4 penyelam ditangguh

Operasi Carilamat empat penyelam warga asing yang dilaporkan hilang di Pulau Tokong Sanggol, Mersing, tengah hari tadi, ditangguhkan pada 7.30 malam ini disebabkan faktor penglihatan yang terhad.

Pengarah Maritim Negeri Johor Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata pencarian empat mangsa tersebut akan diteruskan pada 7 pagi esok, lapor Bernama.

“Operasi hari ini melibatkan keluasan sektor pencarian 21.45 batu nautika persegi,” kata beliau dalam satu kenyataan, malam ini.

Nurul Hizam berkata cuaca di laut dengan kelajuan angin antara 10 hingga 20 km sejam (km/h) dengan ketinggian ombak setinggi 0.5 meter sehingga 1 meter.

Dalam kejadian tengah hari tadi, seorang remaja lelaki warga Belanda berusia 14 tahun, lelaki warga Britain berusia 46 tahun, wanita warga Perancis berusia 18 tahun dan wanita warga Norway berusia 35 tahun, yang dipercayai jurulatih menyelam, didapati hilang ketika membuat latihan selaman sekitar pulau berkenaan, yang terletak kira-kira sembilan batu nautika dari Tanjung Leman, Mersing.

Beliau berkata laporan kehilangan tersebut dibuat oleh tekong bot yang membawa penyelam berkenaan apabila mendapati keempat-empat mereka tidak timbul selepas melakukan latihan selaman sekitar 12 tengah hari.

Nurul Hizam berkata Op Carilamat kemudiannya diaktifkan pada 2.45 petang melibatkan aset daripada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Pasukan Polis Marin dan Jabatan Perikanan Malaysia.

BERITA BERKAIT
POPULAR