
Pusat Penyelaras Mencari dan Menyelamat Maritim (MRSC) Kuantan telah mengaktifkan SAR pada 11.45 pagi semalam (30 Jun 2022) bagi mengesan bot tersebut.
Operasi mencari dan menyelamat 10 pemancing bersama tiga kru yang dikhuatiri hilang di laut selepas keluar memancing di perairan Besut, Terengganu pada 25 Jun lalu diperluaskan hari ini.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Terengganu Kapten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata operasi yang memasuki hari kedua diteruskan dengan pembabitan pesawat dan sebuah kapal.
Beliau berkata sektor pencarian membabitkan keluasan 297.5 batu nautika membabitkan pencarian di udara dan laut.
“Setakat ini, mereka yang hilang dikenali sebagai Norazmalizan Abdullah (tekong); Shaarif Abdullah (kru); Mohd Anuar Md Jali (kru) bersama enam pemancing.
“Enam pemancing yang dikenal pasti ialah Khairul Safuan Naim, Mohd Faizal Ismail, Mohd Fuad Mohd Yusof, Khairul Fareez Ahmad Arshad, Muhamad Marwazi Janid dan Fadzil Mohamed Zakaria.
“Identiti empat lagi pemancing sedang dikenal pasti dan setakat ini, beberapa ahli keluarga mangsa ada menghubungi kita bagi mengesahkan identiti mereka yang hilang,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.
Media semalam melaporkan seramai 10 pemancing bersama tiga kru dikhuatiri hilang selepas bot dinaiki mereka tidak pulang sehingga semalam.
Kesemua pemancing terbabit yang dipercayai memancing di Pelantar Minyak Tapis di perairan negeri ini sepatutnya pulang semalam selepas keluar pada jam 10 pagi pada Sabtu lalu.
Difahamkan, rakan pemancing mendakwa kali terakhir melihat bot dinaiki kumpulan itu berada di sekitar Pelantar Minyak Tapis, kira-kira 128 batu nautika dari muara Kuala Terengganu.