Op Selamat pastikan keselamatan, bukan buru pesalah ada waran

Polis Diraja Malaysia (PDRM) menegaskan Op Selamat ke-18 sempena Aidilfitri bertujuan mengutamakan keselamatan pengguna jalan raya dan kelancaran aliran trafik, bukannya menumpukan untuk menahan individu yang memiliki banyak saman atau waran tangkap.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Datuk Mat Kasim Karim berkata tindakan terbabit tidak akan diambil sepanjang tempoh Op Selamat dilaksanakan kerana pihaknya mahu memastikan pengguna dapat pulang ke kampung halaman dengan selamat.

“Kami ingin menegaskan bahawa menahan dan menangkap bukanlah matlamat JSPT sepanjang Op Selamat kali ini.

“Polis sebenarnya ada banyak kaedah untuk menahan pesalah tetapi pada masa yang sesuai,” katanya seprti dilapor Bernama.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan serah terima tugas Ketua Polis Kelantan Datuk Shafien Mamat kepada Datuk Muhamad Zaki Harun yang memangku Ketua Polis Kelantan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini.

Terdahulu, Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Zaid Ibrahim menggesa PDRM mencari masa lain untuk menahan pengguna jalan raya yang memiliki waran tangkap lampau atau saman tertunggak berkaitan kesalahan trafik, bukannya ketika musim perayaan.

Beliau membuat gesaan demikian susulan pengumuman PDRM pada Selasa lalu yang akan menahan pengguna jalan raya dikesan memiliki waran tangkap lampau sepanjang Op Selamat bermula 29 April hingga 8 Mei depan.

“Selalunya pada musim perayaan, apabila pengguna jalan raya terperangkap dalam kesesakan yang teruk, ketika itu polis membuat sekatan jalan.

“Berapa banyak lagikah hukuman yang mesti ditanggung oleh pemandu kenderaan kita? Tidak bolehkan saman mereka dipos atau cari masa lain untuk menahan mereka? Ini hari raya tuan IGP (Ketua Polis Negara),” kata Zaid.

Mengulas lanjut, Mat Kasim berkata pihaknya juga turut menggunakan alat pengesan had laju In-Car Radar dan iCOPS sepanjang Op Selamat bagi mengesan pesalah trafik yang memiliki saman tertunggak serta waran tangkap.

“Kami ingin nasihatkan pengguna supaya berhati-hati di jalan raya agar selamat sampai ke destinasi yang dituju kerana dijangkakan esok (29 April) kenderaan akan mula bertambah di jalan raya,” katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR