Onn Hafiz MB Johor

Kemelut siapa bakal dilantik menjadi Menteri Besar (MB) Johor setelah Barisan Nasional (BN) menang besar Pilihan Raya Negeri (PRN) pada Sabtu lalu, berakhir apabila Sultan Johor berkenan melantik Datuk Onn Hafiz Ghazi menduduki jawatan itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap berusia 43 tahun itu mengangkat sumpah jawatan MB dihadapan Sultan Ibrahim Sultan Iskandar di Istana Bukit Serene jam 3 petang tadi.

Turut hadir, bekas Menteri Besar yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor, Datuk Hasni Mohammad.
Onn Hafiz menerima surat tauliah pelantikan dan melafazkan sumpah menyandang jawatan dalam Istiadat Penyerahan Surat Tauliah dan Pengisytiharan Pelantikan Menteri Besar Johor, yang berlangsung di Balai Mengadap Istana Bukit Serene, Johor Bahru.

Pada PRN Johor 12 Mac lalu, Onn Hafiz menang di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap mengalahkan tiga calon lain dengan majoriti 6,543 undi.

Dilahirkan pada 2 Mac 1979 di Simpang Renggam, Kluang, beliau adalah cicit kepada pengasas UMNO, Datuk Onn Jaafar dan melibatkan diri dalam politik sejak 2006.

Berpendidikan Ijazah Sarjana Muda Perakaunan, University of Hertfordshire, United Kingdom (UK), dan Kolej Tentera Diraja (RMC), Onn Hafiz mendirikan rumah tangga bersama Datin Sharmin Fazlina Mohd Shukor. Hasil perkahwinan dikurniakan empat cahaya mata.

Politik/Kerjaya/Perkhidmatan

Mac 2022 – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.26 Machap, Johor.
Mac 2020 – Ahli Exco negeri yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Belia dan Sukan Negeri Johor.
9 Mei 2018 – 22 Januari 2022: ADUN N.27 Layang-Layang, Johor
2013 – 2018: Setiausaha politik kepada Menteri Pertahanan
2012 – 2018: EXCO Pemuda UMNO
2012 – 2018: Ketua Pemuda UMNO Sembrong
2008 – 2012: Naib Ketua Pemuda UMNO Sembrong
2006: Pemuda & Ahli Jawatankuasa (AJK) UMNO Sembrong.
2004 – 2012: Ketua Pegawai Eksekutif KMB Educational Service Sdn.Bhd.
2001 – 2008: Price Waterhouse Coopers (PWC).

Untuk rekod, Onn Hafiz merupakan saksi pendakwaan ke-16 dalam kes perbicaraan SRC melibatkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang sudah dijatuhkan hukuman bersalah dan sedang rayuan peringkat akhir di Mahkamah Persekutuan ketika ini.

Dalam keterangan saksi sebelum ini, Onn Hafiz mengakui Najib mengeluarkan sejumlah RM240,000 pada 2015 untuk urusan pengendalian laman web berita Malaysian Digest.

Onn Hafiz berkata, wang berkenaan telah diberikan melalui sebuah cek kepada syarikat beliau iaitu Vital Spire Sdn Bhd, yang juga merupakan pengendali laman web berkenaan.

Sejak BN menang PRN Johor Sabtu lalu dengan memperoleh 40 daripada 56 kerusi DUN, isu siapa bakal menjadi MB ke-19, menjadi tanda tanya rakyat Johor.

Terdahulu, laporan media menyebut Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi telah mengemukakan akuan berkanun (SD) 38 daripada 40 ADUN Johor menyokong pencalonan  Hasni  kekal sebagai MB kepada Sultan Ibrahim pada pertemuan semalam.

Pada 4 Mac, Zahid semasa berkempen di Kota Tinggi, berkata BN telah memilih Hasni sebagai MB Johor dan akan meminta perkenan Sultan Johor untuk melantik Hasni sejurus BN memenangi pilihan raya.

Presiden UMNO itu berkata pemilihan Hasni berdasarkan prestasi beliau yang amat memberangsangkan dan memacu kemajuan kepada Johor dalam masa yang singkat.

Hasni dilantik sebagai Menteri Besar ke-18 pada 28 Feb 2020.

Beliau merupakan Menteri Besar yang ketiga dilantik selepas Pilihan Raya Umum ke-18 pada 2018 selepas Allahyarham Datuk Osman Sapian dan Datuk Dr Sahruddin Jamal.

Sebelum ini, penganalisis politik Mujibu Abd Muis berkata dengan menjadikan Hasni ‘poster boy’ BN ianya menjadi sebahagian penawaran politik kestabilan yang dijaja BN kepada pengundi.

“Perwatakan dan karakter Hasni disenangi pengundi dan di permulaan isu ini dianggap selesai, hanya tunggu BN boleh menang PRN atau tidak sahaja,” kata Pensyarah Kanan Sains Politik Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi Mara (UiTM) Negeri Sembilan itu.

BERITA BERKAIT
POPULAR