Omicron: Sambutan Krismas, Tahun Baharu besar-besaran tak dibenarkan

Kerajaan melarang sambutan Krismas dan Tahun Baharu secara besar-besaran dalam usaha mengekang varian baharu Covid-19, Omicron daripada menular dalam negara, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Pada masa sama beliau turut merayu semua Ahli Parlimen membantu Kementerian Kesihatan (KKM) dengan meluluskan pindaan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) yang dijadual dibentangkan di Parlimen, hari ini.

Bercakap pada sidang media di Parlimen hari ini, beliau berkata, sambutan Krismas dan Tahun Baharu secara kecil-kecilan bagaimanapun dibenarkan, dengan syarat ketat, termasuk memastikan hadirin menjalani ujian saringan kendiri Covid-19 terlebih dahulu.

“Bagi sambutan Tahun Baharu dan perayaan Krismas kecil-kecilan ataupun bersama keluarga dan rakan melalui ‘private event’ dibenarkan buat masa ini, tetapi ujian pengesanan Covid-19 sebelum menghadiri sambutan tersebut perlu dilakukan,” katanya.

Khairy berkata lebih banyak negara berisiko akan dimasukkan dalam senarai negara berisiko tinggi susulan penularan Omicron.

“Pengembara yang tiba dari negara ini akan dipakaikan gelang pengawasan digital sepanjang tempoh kuarantin dan pusat pemberian vaksin mega akan diwujudkan semula.

“Mulai esok, pengembara dari United Kingdom (UK) perlu menjalani ujian kendiri Covid-19 setiap hari sepanjang tempoh kuarantin,” katanya ketika diminta mengulas jumlah jangkitan yang meningkat di Britain sekarang ini.

Agensi berita asing hari ini melaporkan, UK merekodkan kes Covid-19 paling tinggi setiap hari sejak permulaan wabak itu manakala ketua kesihatan kanan Britain berkata mungkin terdapat peningkatan yang ‘mengejutkan’ dalam beberapa hari akan datang.

Sebanyak 78,610 lagi jangkitan Covid-19 dilaporkan, kira-kira 10,000 lebih tinggi daripada paras tertinggi sebelumnya yang dilaporkan pada Januari. Lebih 11 juta orang kini diuji positif Covid-19 di United Kingdom, yang mempunyai jumlah penduduk sekitar 67 juta.

Beliau berkata, pengembara dari sembilan negara berisiko tinggi perlu memakai peranti pengesanan digital, iaitu UK, Amerika Syarikat, Denmark, Australia, Perancis, Norway, Kanada dan Nigeria.

Menurutnya, pengembara lapan negara yang kekal dilarang masuk ialah Afrika Selatan, Botswana, Mozambique, Namibia, Malawi, Zimbabwe, Lesotho dan Estwatini.

Sementara itu, Khairy berkata pindaan Akta 342 disifatkan penting kerana ia menumpukan terhadap kesalahan berulang selain berdepan dengan ancaman gelombang COVID-19 varian Omicron.

Katanya, beliau bersama Jawatankuasa P Khas Kesihatan akan duduk bersama minggu depan untuk memperhalusi garis panduan dan peraturan berhubung pindaan Akta 342 ini.

“Apabila ada pesalah berulang terutama dalam kalangan orang kenamaan kita kena bagi sesuatu yang boleh ‘menghalang’ mereka…inilah inisiaitif akhir kita.

“Saya berharap dengan adanya ancaman Omicron ini saya betul-betul merayu kepada Ahli Parlimen untuk bantu KKM meluluskan pindaan ini dan kita akan perhalusi garis panduan dan peraturan pada minggu depan.

“Mustahil bagi saya untuk memasukkan perincian dalam akta, takkan saya nak masukkan denda pelitup muka dan sebagainya dalam akta ini,” katanya

BERITA BERKAIT
POPULAR