Omicron pencetus gelombang ganas Covid-19 2022

Keputusan kerajaan menangguhkan sementara kebenaran perjalanan mengerjakan ibadah umrah bermula 8 Januari ini bukanlah keputusan yang mudah.

Langkah tersebut dilakukan bagi membendung penularan Omicron, susulan kebimbangan terhadap penularan varian berkenaan akibat ketidakpatuhan jemaah umrah kepada prosedur kuarantin di tempat kediaman.

Omicron dilaporkan punca semakin merebaknya kes Covid-19 akhir-akhir ini, ditakuti mencetuskan ‘gelombang ganas’ di 2022, yang boleh menghuru-harakan sistem penjagaan kesihatan.

Menurut  Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Tedros Adhanom Ghebreyesus, data global terkini menunjukkan Covid-19 yang sudah bermutasi kepada pelbagai varian ini termasuk Delta dan Omicron.

Kedua-duanya kembali merebak terutamanya di Amerika Syarikat dengan angka kes harian baharu lebih 400,000 kes dan Benua Eropah, sementara jumlah kes global setakat ini lebih 285 juta dan lebih lima juta nyawa melayang.

Menurut perangkaan pertubuhan dunia itu, untuk tempoh seminggu (20 hingga 26 Disember 2021) sahaja, sebanyak 4.99 juta kes baharu dilaporkan, sementara, data yang dikumpul agensi berita AFP untuk tempoh 22 Disember hingga 28 Disember 2021 sebanyak 6.51 juta kes baharu COVID-19 dilaporkan di seluruh dunia.

Beberapa negara mengumumkan langkah berikutan laporan WHO seperti Arab Saudi mulai semalam menjadikan mandatori pemakaian pelitup muka dan penjarakan fizikal untuk mereka yang melaksanakan ibadah di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi.

Brunei pula dilaporkan mengeluarkan semua negara yang sebelum ini terkandung dalam Senarai Laluan Hijau dan berkuat kuasa 1 Januari 2022, tiada lagi negara dalam senarai berkenaan.

Sementara itu,  rakyat Malaysia yang kembali daripada mengerjakan umrah diwajibkan memakai peranti pengesanan digital. Peraturan ini sebelum ini dikuatkuasakan untuk pengembara yang kembali dari 18 negara berisiko tinggi di bawah pengawasan kuarantin rumah.

Negara berisiko tinggi itu adalah Australia, Amerika Syarikat, United Kingdom, Norway, Perancis, Denmark, Kanada, Nigeria, India, Arab Saudi, Afrika Selatan, Botswana, Eswatini, Lesotho, Mozambique, Namibia, Zimbabwe dan Malawi.

Untuk rekod, setakat ini Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan empat kluster import melibatkan jemaah umrah iaitu dua di Johor ( 27 Dis – kluster Serom 5 Hilir Tangkak Saudi dan 29 Dis – kluster Jalan Permatang Enam Saudi dan dua lagi di Pahang (28 Dis – kluster Jengka 25 Saudi dan 29 Dis –  kluster Keratong 5 Saudi).

Sementara itu, KKM setakat 30 Dis 2021 turut mengesan sebanyak 442 kes positif dikesan dalam kalangan mangsa banjir dan 15 kes positif di Pusat Penempatan Sementara (PPS) untuk mangsa banjir.

Dalam pada itu, penyelidik di Institut Penyelidikan Khazanah, Nazihah Muhamad Noor memberitahu ada tiga perkara yang perlu diambil kira oleh pihak berkuasa dalam mendepani Omicron.

“Kita perlu tunggu dan lihat jika negara-negara yang merekodkan kes Omicron turut mencatatkan peningkatan kes domestik, pertambahan kemasukan ke hospital dan kematian. Kita juga perlu tunggu dan lihat kesan strain baharu ini terhadap keberkesanan vaksin Covid-19 sedia ada,” katanya.

Bagaimanapun pakar berpandangan hakikat Omicron diklasifikasikan oleh WHO sebagai varian membimbangkan (VoC) dalam tempoh yang begitu singkat sudah cukup membimbangkan.

Malaysia melaporkan kes Omicron pertamanya pada 2 Disember lalu, iaitu seorang pelajar berusia 19 tahun yang kembali ke negara ini selepas pulang ke kampung halamannya di Afrika Selatan, namun hingga kini tidak ada bukti menunjukkan berlaku jangkitan dalam komuniti.

BERITA BERKAIT
POPULAR